SHAH ALAM: Lebih 75,000 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi 12,471 operasi penguatkuasaan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata sepanjang tempoh Januari hingga 19 November lalu itu juga lebih 160,000 warga asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan secara berterusan.
“Daripada jumlah yang diperiksa, lebih 75,000 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen.
“Dalam tempoh sama, lebih 52,000 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman, sama ada membayar kompaun atau menjalani hukuman penjara,” katanya pada sidang media selepas operasi penguatkuasaan bersepadu di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.
Lokman Effendi berkata, kira-kira 25,000 lagi warga asing masih menunggu proses penghantaran pulang atas beberapa faktor, termasuk belum selesai menjalani hukuman, masalah dokumentasi dan urusan tiket penerbangan.
Katanya, proses penghantaran pulang dapat diselesaikan dalam tempoh sasaran 10 hari sekiranya semua dokumen perjalanan dan tiket penerbangan lengkap serta tiada halangan lain.
“Jika dokumen perjalanan dan tiket penerbangan lengkap, sasaran kita adalah untuk menghantar mereka pulang dalam tempoh 10 hari.
“Bagaimanapun, ada yang perlu menunggu lebih lama kerana masih menjalani hukuman atau belum memperoleh dokumen perjalanan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, warga asing yang dihantar pulang turut disenaraihitamkan daripada memasuki semula negara ini.
Menurutnya, imigresen mempunyai 20 depoh tahanan di seluruh negara bagi menempatkan warga asing sementara menunggu proses penghantaran pulang.











