Penduduk UK 'borong' bekalan kecemasan hadapi bencana

Penduduk UK ‘borong’ bekalan kecemasan hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Jualan runcit di Great Britain melonjak sejak bulan lalu apabila orang ramai berpusu-pusu membeli barangan termasuk makanan dalam tin dan susu tahan lama, susulan amaran kerajaan supaya penduduk menyimpan bekalan sebagai persediaan menghadapi bencana.

Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) melaporkan jumlah barangan yang dijual meningkat 0.7 peratus pada Oktober berbanding bulan sebelumnya, sekali gus mengatasi unjuran pakar ekonomi yang meramalkan jualan kekal tidak berubah.

Lapor The Guardian, peningkatan itu berlaku apabila golongan yang membuat persediaan menghadapi kecemasan mengambil perhatian terhadap kempen kerajaan, ‘Be Ready’, yang menggalakkan orang ramai menyimpan bekalan mencukupi untuk bertahan selama 72 jam sekiranya berlaku cuaca ekstrem, insiden siber atau kecemasan serius lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lonjakan jualan itu menjadi perkembangan positif bagi sektor peruncitan selepas prestasi hambar pada September, apabila ONS menyemak semula angka penurunan jualan daripada 0.4 kepada 0.6 peratus.

Keadaan itu sebahagiannya didorong oleh jualan dalam talian pakaian musim luruh dan sejuk yang lemah berikutan cuaca lebih panas daripada kebiasaan.

“Pihak pasar raya memaklumkan kepada kami  jualan makanan tahan lama seperti makanan dalam tin dan susu UHT meningkat susulan kempen Be Ready oleh kerajaan,” kata Ketua Pakar Ekonomi ONS, Grant Fitzner.

Jualan barangan makanan, khususnya di pasar raya, meningkat 0.8 peratus berbanding bulan sebelumnya, kadar pertumbuhan tertinggi sejak kenaikan 1.4 peratus pada April.

Ketua Peruncitan Deloitte, Oliver Vernon-Harcourt berkata, pengguna menyahut kempen Be Ready kerajaan dengan membeli barangan runcit tahan lama, mencerminkan kecenderungan lebih meluas dalam kalangan pembeli untuk mengutamakan barangan keperluan.

Bagaimanapun, Ketua Pakar Ekonomi Capital Economics bagi United Kingdom (UK), Paul Dales berkata, peningkatan pembelian bekalan kecemasan oleh isi rumah berkemungkinan menyebabkan pertumbuhan jualan makanan lebih perlahan dalam beberapa bulan akan datang.

“Stok dalam almari hanya perlu diisi sekali untuk tujuan ini, mudah-mudahan,” katanya kepada pelanggan firma itu.

Beliau berkata, isi rumah dijangka sukar meneruskan perbelanjaan pada kadar sama, lebih-lebih lagi apabila kenaikan inflasi susulan peningkatan kos tenaga dijangka berlaku tidak lama lagi.

Data berasingan yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan pengguna Britain mula menyimpan barangan keperluan seperti air minuman dalam botol, makanan dalam tin dan cecair pembasmi kuman tangan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kecemasan.

ONS turut melaporkan jualan di kedai tekstil, pakaian dan kasut meningkat 1.5 peratus pada Oktober berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan kunjungan ke galeri seni serta lonjakan jualan peralatan sukan, permainan dan mainan kanak-kanak pula menyumbang kepada kenaikan jualan sebanyak 3.1 peratus di kedai bukan makanan lain, iaitu peningkatan tertinggi sejak Januari.

Secara keseluruhan, kategori kedai bukan makanan yang merangkumi gedung serbaneka, kedai pakaian, barangan rumah dan peruncit bukan makanan lain mencatatkan peningkatan jualan 1.1 peratus pada Oktober berbanding bulan sebelumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini