PH desak BN-PN tarik balik tuduhan dimainkan ketika PRN Negeri Sembilan

PH desak BN-PN tarik balik tuduhan dimainkan ketika PRN Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH)  Negeri Sembilan mendesak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik secara terbuka segala tuduhan tidak berasas terhadap gabungan itu yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim hari ini berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz  Tuanku Munawir dan tanggungjawab mempertahankan institusi diraja selari dengan prinsip yang ditegaskan gabungan itu sejak awal tercetusnya krisis politik dan adat di negeri terbabit.

Menurutnya, pendirian mempertahankan Raja Pemerintah, menghormati institusi adat dan mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan bukan pendirian yang berubah mengikut kepentingan politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenyataan menteri besar hari ini sewajarnya menjadi ruang untuk rakyat menilai semula segala tuduhan yang pernah dilemparkan terhadap PH Negeri Sembilan, khususnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“PH Negeri Sembilan sebelum ini telah dituduh mencampuri urusan adat, mempengaruhi institusi istana dan mengancam kedudukan agama Islam di Negeri Sembilan. Tuduhan tersebut ditolak dengan tegas oleh PHNS sejak awal, namun penjelasan kami sering tenggelam dalam polemik politik dan sentimen yang dimainkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

PH Negeri Sembilan turut mempersoalkan mengapa pendirian mempertahankan kedudukan Tuanku Muhriz yang kini menjadi komitmen kerajaan dipersoalkan dan diserang ketika dibawa gabungan itu dahulu.

Menurutnya, rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai tindakan dan pendirian Menteri Besar dalam kemelut sebelum ini, termasuk persoalan berkaitan Proklamasi yang pernah menjadi pertikaian.

Katanya, penjelasan secara telus penting agar tidak wujud lagi percanggahan antara kenyataan, tindakan dan tanggungjawab seorang ketua kerajaan.

“Dakwaan BN-PN semasa kempen pilihan raya kononnya institusi istana Negeri Sembilan dikuasai DAP, urusan adat dicampuri pimpinan PH Negeri Sembilan dan kedudukan agama Islam terancam di bawah pentadbiran terdahulu adalah tuduhan tidak berasas.

“Sepanjang pentadbiran PH, institusi diraja dan adat sentiasa dihormati mengikut kedudukan serta bidang kuasanya, selain pentadbiran negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan agama Islam, institusi pendidikan Islam serta pemeliharaan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya. 

Menurutnya, institusi diraja, adat dan agama Islam tidak pernah dijadikan alat untuk meraih keuntungan politik.

Sehubungan itu, PH Negeri Sembilan menuntut kepimpinan BN-PN menarik balik secara terbuka segala tuduhan tidak berasas terhadap gabungan itu yang dimainkan sepanjang kempen PRN.

“Tuduhan yang melibatkan kedaulatan Raja Pemerintah, institusi adat dan kesucian agama Islam bukanlah perkara kecil. Ia mempunyai kesan besar terhadap keyakinan rakyat, keharmonian masyarakat dan maruah pihak yang dituduh.

“Sekiranya BNPN mempunyai bukti terhadap dakwaan yang pernah dibuat, kemukakanlah secara terbuka. Jika tidak, adalah wajar tuduhan tersebut ditarik balik dan diperbetulkan,” katanya.

PH Negeri Sembilan turut kesal apabila pertukaran sokongan politik yang membawa kepada perubahan kerajaan disertai usaha mempertikaikan rekod dan pencapaian pentadbiran terdahulu.

Menurutnya, sepanjang pentadbiran PHNS di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Aminuddin Harun, Negeri Sembilan mencatat pelbagai pencapaian dalam pengurusan kewangan, peningkatan hasil, pengukuhan rizab negeri, kemasukan pelaburan serta pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan rakyat.

Katanya, pencapaian tersebut dibangunkan melalui usaha pentadbiran kerajaan yang turut melibatkan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Perbezaan politik dan keputusan menarik sokongan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hasil kerja serta rekod pentadbiran yang telah dicapai secara bersama.

“Perubahan kerajaan adalah sebahagian daripada proses demokrasi, namun perubahan kuasa tidak seharusnya mengubah fakta, memadam pencapaian atau menghalalkan tuduhan tanpa bukti,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini