Selesaikan baki bayaran interim RM900 juta - Mustapha - Utusan Malaysia

Selesaikan baki bayaran interim RM900 juta – Mustapha

MUSTAPHA Sakmud ditemui pada sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini.- UTUSAN / RAEESAH HANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Baki bayaran interim RM900 juta daripada peruntukan RM1.5 bilion berkaitan pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu akan diselesaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pembayaran RM600 juta yang diwartakan sebelum ini sudah pun diselesaikan, namun baki RM900 juta dalam proses akhir sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya, pewartaan bagi baki bayaran itu sudah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan kini hanya menunggu proses teknikal oleh Pejabat Peguam Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Mustapha memaklumkan proses tersebut perlu diselesaikan sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember ini supaya peruntukkan itu dapat dimasukkan ke dalam hasil negeri bagi tahun hadapan dan dibelanjakan untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Sekarang ini (baki RM900 juta) sudah diwartakan dan cuma peguam Pejabat Peguam Negara sedang di peringkat akhir meneliti sebelum ia dibentangkan (kepada) Parlimen.

“Saya dimaklumkan pewartaan itu sudah ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan sekarang ini hanya proses teknikal sebelum diletakkan di meja ahli-ahli Parlimen untuk makluman. Tidak akan ada perbahasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelasnya, tuntutan baki 40 peratus itu masih dalam proses rundingan menerusi jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa induk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.

Mustapha menambah, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican bagi menyampaikan hasrat kerajaan negeri supaya pembayaran itu dipercepatkan.

“Kita mahu supaya pembayaran ini dilunaskan agar ia boleh dimasukkan dalam hasil negeri untuk tahun depan, sekali gus dibelanjakan kepada perkara yang melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata, Pakatan Harapan (PH) Sabah turut mencadangkan supaya kaedah pewartaan bayaran interim pada masa depan dilaksanakan secara progresif dengan peningkatan setiap tahun, berbanding amalan sekarang.

“Jadi kita tidak mahu seperti sekarang apabila RM1.5 bilion itu diwartakan, nilainya kekal RM1.5 bilion untuk lima tahun.

“Kita mahu ia dalam bentuk progresif, dengan peningkatan setiap tahun berdasarkan nilai yang dipersetujui bersama oleh kerajaan negeri dan Persekutuan melalui rundingan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini