PUTRAJAYA: Mingguan Malaysia meraih Anugerah Media Lebuh Raya Terbaik menerusi artikel mengenai Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan dekat Ipoh yang bertajuk ’40 Tahun Hubungkan Negara’ pada majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2026 di sini semalam.
Artikel berkenaan dihasilkan oleh wartawan Mingguan Malaysia Biro Perak, Sayed Mohd Hesham Syed Idris mengenai cabaran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan terowong berkenaan kerana bentuk geografinya yang berbukit-bukau.
Terowong Menora yang dibuka sejak 1986 merupakan laluan mencabar di Lebuhraya PLUS kerana laluannya juga berselekoh.
Pelbagai langkah keselamatan seperti pemasangan kamera, pelebaran lorong dan penyelenggaraan cerun telah dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan. Walaupun mencabar, laluan itu kekal penting sebagai penghubung utama antara utara dan selatan negara.
Turut menerima anugerah sama adalah Sinar Harian dan Harian Metro dan pemenang menerima plak dan sijil penghargaan daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, Alexander merakamkan penghargaan kepada warga media yang merupakan rakan penting dalam perjalanan pembangunan industri lebuh raya negara.
Menurutnya, apabila berlaku kesesakan, kemalangan atau gangguan perjalanan, laporan yang pantas dan tepat membantu orang ramai merancang laluan, menjangka keadaan trafik dan membuat keputusan yang lebih selamat.
“Dalam keadaan seperti ini, tugas media melangkaui penyampaian berita, ia menjadi sebahagian daripada khidmat maklumat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2026 di sini semalam.
Alexander turut menghargai peranan media membawa suara pengguna termasuk aduan, teguran dan pengalaman yang mungkin tidak menyenangkan untuk didengari.
Menurutnya, teguran yang berasas tidak wajar dilihat sebagai serangan terhadap industri, tetapi sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan dan meningkatkan keyakinan masyarakat.
Beliau mahu hubungan antara pengendali lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pihak media terus diperkukuh.
“Peranan media dalam menyampaikan maklumat dan suara pengguna juga perlu disokong dengan tindakan oleh pihak industri,” katanya. – UTUSAN











