KUALA LUMPUR: Manulife Financial Corporation, penyedia perkhidmatan kewangan antarabangsa yang terkemuka, hari ini mengumumkan pelantikan Harshal Shah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Manulife Holdings Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Insurance Berhad (“Manulife Malaysia”), berkuat kuasa pada 20 November 2026.
Harshal membawa lebih 25 tahun pengalaman dalam sektor perkhidmatan kewangan merangkumi strategi pelanggan, transformasi perniagaan, penjenamaan, digital, pengedaran, dan pertumbuhan perniagaan. Sejak menyertai Manulife pada tahun 2022 sebagai Ketua Pegawai Pemasaran, Manulife Asia, beliau telah memainkan peranan penting dalam memacu strategi berfokuskan pelanggan syarikat di seluruh rantau ini, melakukan kerjasama yang rapat dengan pelbagai pasaran untuk memperkukuh pengalaman pelanggan, keupayaan digital, jenama, serta keutamaan pertumbuhan.
“Harshal membawa gabungan kepimpinan serantau, pemahaman mendalam terhadap pelanggan serta pengalaman transformasi yang meyakinkan untuk peranan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Manulife Asia, Steve Finch, .
Katanya, pemahaman kukuh Harsah mengenai perniagaan, pelanggan, serta peluang di seluruh Asia meletakkan beliau pada kedudukan terbaik untuk menerajui Manulife Malaysia ke fasa seterusnya, dengan kerjasama bersama pasukan bagi meneruskan momentum sedia ada dan memberikan nilai yang bermakna kepada pelanggan, ejen serta rakan strategik.
Sebelum berkhidmat dengan Manulife, Harshal menyandang pelbagai jawatan kepimpinan kanan di AIA Group yang meliputi bidang pengedaran, pemasaran, pengalaman pelanggan serta transformasi perniagaan. Terdahulu dalam kerjayanya, beliau turut memegang peranan kepimpinan di Aegon dan Citibank.
“Saya amat berbesar hati menerima tanggungjawab ini serta menerajui Manulife Malaysia ke fasa seterusnya,” kata Harshal Shah.
“Kami memiliki asas yang kukuh untuk terus dibangunkan, dan saya tidak sabar untuk berganding bahu bersama seluruh pasukan bagi meningkatkan tumpuan kepada pelangan, memacu pertumbuhan yang lebih pesat serta membantu lebih ramai rakyat Malaysia membuat keputusan dengan lebih mudah dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna,” katanya
Harshal menggantikan Vibha Coburn susulan kepimpinan beliau yang cemerlang selama enam tahun di Manulife Malaysia.











