Imigresen Selangor serbu kilang dobi, 30 warga asing ditahan 

Imigresen Selangor serbu kilang dobi, 30 warga asing ditahan 

Jabatan Imigresen Selangor menyerbu sebuah kilang dobi sebelum menahan 30 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Jabatan Imigresen Selangor menyerbu sebuah kilang dobi sebelum menahan 30 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

Serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu dilakukan oleh 20 pegawai.

Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, mereka ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mereka terdiri daripada warga Bangladesh, India, Nepal, Indonesia dan Thailand.

“Warga asing yang ditahan membabitkan 11 lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, sembilan lelaki dan seorang wanita warga India.

“Turut ditahan enam lelaki warga Nepal serta masing-masing seorang lelaki warga Indonesia dan Thailand,” katanya pada sidang akbar di Ibu Pejabat Imigresen Selangor di sini hari ini.

Mohmad Khusairi berkata, antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati terdapat warga asing yang menyalahgunakan pas dengan bekerja di sektor atau lokasi berlainan daripada yang dibenarkan.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah penggunaan pas yang tidak sepatutnya di premis berkenaan.

“Contohnya, mereka sepatutnya bekerja dalam sektor perkilangan, perkhidmatan atau perladangan, namun menyalahgunakan pas dengan bekerja di tempat berlainan daripada yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 30 warga asing yang ditahan melakukan kesalahan imigresen dan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih.

Satu Borang 29 iaitu notis Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan kepada seorang individu warga tempatan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Mohmad Khusairi turut mengingatkan majikan supaya memastikan pekerja warga asing yang digaji mempunyai dokumen sah serta bekerja mengikut sektor dan lokasi yang dibenarkan.

Katanya, Imigresen Selangor akan terus menjalankan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan majikan mematuhi undang-undang imigresen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini