Helmy tidak berkecil hati

Helmy tidak berkecil hati

MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem tidak berkecil hati apabila tidak dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka bagi penggal baharu semalam.

Beliau menganggap kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus berkhidmat sebagai Timbalan Exco dalam pentadbiran negeri sebagai amanah besar.

Mohd. Noor Helmy kini dilantik sebagai Timbalan Exco Tugas-Tugas Khas bagi membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya. Ini satu mandat dan tanggungjawab besar selain peluang untuk terus bekerjasama serta menimba ilmu dan pengalaman.

“Apa nak kecil hati, saya faham perancangan yang diatur lagipun saya masih diperlukan sebagai ketua penyokong kerajaan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Lebih penting bila saya dilantik untuk membantu Ketua Menteri inilah masanya untuk saya belajar dan mendapat ilmu yang berguna kerana perjalanan politik saya masih panjang,” katanya.

Beliau diminta mengulas pelantikan barisan 10 Exco kerajaan negeri yang mengangkat sumpah jawatan dalam Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, semalam.

Mohd. Noor Helmy berkata, meskipun tidak berada dalam barisan utama Exco, beliau mempunyai tanggungjawab penting dalam membantu memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, khususnya menerusi portfolio perancangan ekonomi, kewangan, tanah, pelaburan dan industri.

Katanya, pengalaman berkhidmat sebagai Timbalan Exco pada penggal lalu juga akan dimanfaatkan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu dengan lebih berkesan.

“Sebagai ADUN, tugas saya tetap sama. Saya akan terus menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan segala urusan serta keperluan mereka diberi perhatian.

“Malah, gerak kerja saya selepas ini perlu lebih kuat berbanding sebelum ini. Jawatan atau kedudukan bukan alasan untuk mengurangkan komitmen kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini