NARATHIWAT (THAILAND): Beberapa insiden keganasan, termasuk pengeboman dan penembakan terhadap orang awam, dilaporkan berlaku di Wilayah Pattani dan Narathiwat dalam tempoh enam jam bermula malam tadi hingga awal pagi ini.
Dalam kejadian di Pattani, Datuk Bandar Mukim Bana di Daerah Mueang Pattani, Marosdi Ngo, 60, cedera apabila sekumpulan penyerang melepaskan tembakan ketika beliau berjalan di hadapan rumahnya di Ban Chue Ro kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Penguasa Balai Polis Bandar Pattani, Kolonel Jeffrey Saimanakul berkata, siasatan menunjukkan sebelum kejadian, Marosdi dikatakan sedang berjalan pulang dari masjid berhampiran sebelum sekumpulan lelaki mula melepaskan tembakan ke arahnya menggunakan senjata gred tentera.
“Mangsa bagaimanapun, berjaya berlari masuk berlindung di dalam rumah, sementara kumpulan penyerang terbabit melarikan diri. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital oleh saudara maranya sebelum laporan polis dibuat.
“Siasatan di tempat kejadian menemukan 17 kelongsong peluru dipercayai digunakan penyerang terbabit. Marosdi bagaimanapun hanya terkena satu tembakan di rusuk kiri dan masih dirawat di hospital,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, beberapa insiden pengeboman dan perbuatan khianat dilaporkan berlaku di Daerah Waeng, Wilayah Narathiwat, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sebutir bom buatan sendiri (IED) diletupkan di hadapan Pusat Kesihatan Kecil Mai Faad, Mukim Kayu Khla, Daerah Waeng, kira-kira pukul 4.48 pagi tadi menyebabkan kerosakan kepada tiang elektrik.
“Pada masa sama, ISOC 4 juga menerima laporan kejadian tayar dibakar di tengah jalan di sekitar mukim berkenaan dipercayai cuba menghalang pihak berkuasa memasuki kawasan kejadian.
“Pihak berkuasa juga menemukan objek mencurigakan dan sepanduk yang digantung di stesen bas di Daerah Sungai Golok. Laluan antara persimpangan Kwalosira dan Kolej Vokasional Sungai Golok kini ditutup untuk siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan di semua tempat kejadian dan setakat ini tiada laporan kecederaan atau kematian dalam kejadian di Daerah Waeng.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa juga menerima laporan penemuan sepanduk dan objek mencurigakan di sekitar Wilayah Yala pagi ini dan siasatan masih dijalankan.-UTUSAN











