KOTA BHARU: Alasan seorang remaja mahu bersiar-siar bersama rakan sebelum melakukan aksi ‘wheelie’ akhirnya menerima padah apabila ditahan dalam Operasi (Op) Khas Motosikal di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, petang semalam.
Pelajar lelaki tingkatan dua itu ditahan bersama sekumpulan remaja lain yang sedang berlumba pada pukul 6 petang sebelum melakukan aksi itu selepas disuruh rakannya.
Bagaimanapun, rakannya yang lain terus melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi tersebut.
“Saya langsung tak sedar sedang diperhatikan oleh anggota penguat kuasa JPJ ketika melakukan aksi itu yang kemudian menghampiri motosikal saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, dia keluar bersama rakannya itu ke lokasinya ditahan tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapanya, walaupun pernah dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat yang boleh membahayakan diri.
“Saya pernah ke lokasi yang sama untuk melihat sekumpulan remaja lain sedang berlumba motosikal pada bulan lepas. Hari ini saya bersama rakan sekali lagi ke sana dan melakukan aksi tersebut, namun kali ini ditahan,” ujarnya.
Senentara itu, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, ibu bapa terutamanya perlu mengawasi pergerakan anak-anak remaja supaya tidak terjebak dengan lumba haram atau sebagainya yang boleh membahayakan nyawa.
Katanya, operasi sentiasa dilakukan di kawasan dikenal pasti golongan remaja berkumpul untuk berlumba di negeri ini.-UTUSAN











