DAKWAAN isu kelewatan penyelesaian pembayaran oleh ToyyibPay terus menimbulkan kebimbangan apabila masih terdapat pengguna yang mendakwa belum menerima wang kutipan mereka, meskipun syarikat berkenaan sebelum ini berjanji menyelesaikan bayaran tertunggak.
Lebih meresahkan, sebahagian pelanggan turut mendakwa e-mel yang dihantar untuk mendapatkan penjelasan tidak lagi mendapat maklum balas.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap tanggungjawab penyedia perkhidmatan pembayaran digital dalam mengurus wang kutipan pelanggan.
Pengguna ToyyibPay terdiri daripada peniaga kecil, usahawan mikro, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergantung pada kutipan tersebut untuk membiayai operasi harian.
Pada 20 Oktober lalu, ToyyibPay mengeluarkan kenyataan rasmi mengakui kelewatan sebahagian pembayaran dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Dua hari kemudian, syarikat menerbitkan kenyataan susulan dengan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Krisis (CTF) bagi menyelaras penyelesaian kes, menyemak akaun terjejas serta melaksanakan proses rekonsiliasi. Bayaran tertunggak turut dijanjikan akan diberi keutamaan dan diselesaikan secara berperingkat.
Namun, sehingga 13 November, masih terdapat pengguna yang melaporkan wang mereka belum diterima. Aduan mengenai kesukaran mendapatkan maklum balas turut menimbulkan persoalan tentang keberkesanan tindakan yang diumumkan. Komitmen syarikat perlu disertai perkembangan yang jelas, bukan sekadar kenyataan umum.
Isu ini turut dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kelewatan pembayaran kepada usahawan kecil.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, pula memaklumkan perkara itu akan diteliti bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Kesan kelewatan ini bukan sekadar ketidakpuasan hati pelanggan. Bagi peniaga kecil, wang kutipan diperlukan untuk membayar pembekal, pekerja, sewa dan perbelanjaan operasi. Tanpa aliran tunai yang lancar, kelangsungan perniagaan boleh terjejas.
Pada masa sama, pengguna berhak mengetahui kedudukan transaksi masing-masing. Mereka perlu dimaklumkan sama ada bayaran masih diproses, menghadapi masalah teknikal atau menunggu pengesahan pihak bank.
Apabila pertanyaan tidak dijawab, ketidakpastian semakin bertambah kerana pelanggan bukan sahaja menunggu wang, malah tidak mengetahui statusnya.
Laman rasmi ToyyibPay menyatakan pasukan khidmat pelanggan tersedia 24 jam sehari dengan sasaran purata masa respons antara satu hingga tiga jam. Oleh itu, dakwaan pengguna yang gagal mendapat maklum balas perlu diberikan perhatian. Jika berlaku kelewatan, syarikat sewajarnya menjelaskan puncanya dan menyediakan saluran alternatif yang berfungsi.
Berdasarkan maklumat di laman rasmi, tempoh penyelesaian bayaran berbeza mengikut kaedah pembayaran, iaitu satu hingga empat hari bekerja bagi FPX Standard, 10 hari bekerja bagi FPX Santai, empat hari bekerja bagi kad dan dua hari bekerja bagi DuitNow QR. Walaupun tempoh tersebut tertakluk kepada usaha terbaik, pengguna tetap wajar mendapat penjelasan apabila pembayaran mengambil masa jauh lebih lama.
ToyyibPay perlu menjelaskan jumlah bayaran yang masih tertunggak, bilangan akaun terjejas, punca kelewatan serta jumlah kes yang telah diselesaikan sejak penubuhan CTF.
Pengguna juga perlu diberikan status transaksi, nombor rujukan dan jangka masa penyelesaian yang munasabah.
Kepercayaan terhadap perkhidmatan pembayaran digital bergantung pada ketelusan dan kebertanggungjawaban. Permohonan maaf serta penubuhan pasukan khas tidak memadai jika pengguna masih menunggu tanpa kepastian.
Apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan yang dapat dibuktikan, pembayaran yang diselesaikan dan komunikasi yang jelas. -UTUSAN
DR. MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Negeri Sembilam











