Hentikan budaya salahkan mangsa gangguan seksual

Hentikan budaya salahkan mangsa gangguan seksual

SETIAP aduan berkaitan gangguan seksual mesti disiasat secara adil berdasarkan bukti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM banyak kes gangguan seksual, individu yang tampil membuat aduan sering berdepan pertanyaan yang seolah-olah meletakkan mereka sebagai pihak bersalah. 

Pakaian, pergaulan, hubungan peribadi dan tindakan selepas kejadian menjadi bahan penilaian, sedangkan perlakuan yang dilaporkan belum pun disiasat. 

Lebih membimbangkan, reputasi individu yang diadukan kadangkala dijadikan alasan untuk menolak kemungkinan berlakunya salah laku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Inilah gambaran budaya menyalahkan mangsa yang masih berakar dalam masyarakat. Perhatian beralih daripada perbuatan yang dilaporkan kepada latar belakang pengadu. 

Sikap sedemikian bukan sahaja menambah tekanan emosi, malah boleh menyebabkan mangsa memilih untuk berdiam diri kerana bimbang dipersalahkan atau dipandang serong.

Menuntut siasatan yang adil tidak bermakna setiap dakwaan mesti diterima tanpa penelitian. Prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya perlu dihormati. Namun, prinsip itu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, memalukan atau menutup ruang kepada mereka yang mahu mendapatkan pembelaan. Kedua-dua pihak berhak mendapat layanan saksama, sementara setiap dakwaan dinilai berdasarkan bukti.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 477 kes gangguan seksual direkodkan pada 2022, meningkat kepada 522 pada 2023, 788 pada 2024 dan 1,038 pada 2025. 

Tinjauan Women’s Aid Organisation bersama Vase.ai pada 2020 mendapati 62 peratus wanita pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk gangguan seksual di tempat kerja. Bagaimanapun, hanya 21 peratus mengakui pernah diganggu apabila ditanya secara umum. 

Perbezaan ini menggambarkan bagaimana perlakuan yang tidak wajar kadangkala dianggap perkara biasa sehingga mangsa sendiri sukar mengenal pasti pengalaman yang dilalui.

Lebih serius, kajian sikap masyarakat oleh organisasi sama pada 2021 mendapati 49.1 peratus responden mengaitkan rogol dengan cara wanita berpakaian, manakala 51.3 peratus mengaitkannya dengan tingkah laku mereka. Kepercayaan sedemikian memperlihatkan kecenderungan memindahkan tanggungjawab daripada pelaku kepada mangsa.

Hakikatnya, seseorang berhak berpakaian mengikut pilihannya tanpa perlu menerima gangguan. 

Sikap ramah juga bukan tanda persetujuan terhadap mesej, ungkapan atau sentuhan berunsur seksual. Batas peribadi mesti dihormati tanpa mengira penampilan, hubungan atau kedudukan seseorang.

Gangguan seksual juga boleh berlaku dalam hubungan yang tidak seimbang dari segi kuasa. Pekerja mungkin takut kehilangan pekerjaan, pelajar bimbang menjejaskan penilaian akademik, manakala individu yang baru membina kerjaya risau peluang mereka disekat jika menolak permintaan pihak berpengaruh. Dalam keadaan ini, keputusan untuk tidak segera melapor tidak boleh terus dianggap sebagai tanda bahawa kejadian tidak berlaku.

Reputasi seseorang juga tidak sepatutnya mengatasi keperluan menyiasat aduan. Individu yang dikenali sebagai pemimpin, pendidik atau tokoh masyarakat tetap tertakluk kepada penilaian yang sama. Pada masa sama, tuduhan semata-mata tidak menjadikan seseorang bersalah. Bukti dan proses yang bebas perlu menjadi asas penentuan.

Malaysia mempunyai kerangka perlindungan melalui Akta Antigangguan Seksual 2022 dan Tribunal bagi Antigangguan Seksual. Sehingga 20 September 2026, sebanyak 142 aduan difailkan dan 97 dilaporkan selesai. Namun, kewujudan saluran perundangan sahaja belum mencukupi jika masyarakat tidak mengetahui hak mereka atau organisasi gagal menyediakan ruang aduan yang selamat.

Perkembangan teknologi turut menambah cabaran apabila imej seseorang boleh dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI). 

Perubahan perlu bermula daripada keluarga, sekolah, universiti dan tempat kerja. Pendidikan tentang persetujuan serta batas peribadi mesti diberikan kepada semua, manakala organisasi perlu memastikan aduan disiasat secara bebas tanpa tindakan balas terhadap pengadu. Media dan pengguna media sosial juga bertanggungjawab menjaga identiti serta maruah individu yang terlibat.

Menghentikan budaya menyalahkan mangsa bukan bermakna menerima semua dakwaan tanpa penelitian. Sebaliknya, setiap aduan perlu didengar dengan serius, disiasat secara adil dan ditangani berdasarkan bukti. Keadilan tidak sepatutnya bergantung pada pakaian, reputasi atau kedudukan seseorang, tetapi pada kebenaran yang dapat dibuktikan. –UTUSAN

 

SYADIAH IZZATI MOHD. SAIFUL dan NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini