Tiada lagi jawatan exco kanan dalam pentadbiran Melaka

Tiada lagi jawatan exco kanan dalam pentadbiran Melaka

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiada lagi jawatan exco kanan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka bagi penggal baharu apabila semua 10 exco yang dilantik diberi kedudukan dan tanggungjawab sama kali ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia bagi memberi peluang kepada setiap exco memikul tanggungjawab berbeza, selain memperluas pengalaman mereka dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.

“Semua exco ini adalah exco kanan saya. Tidak ada lagi exco kanan kerana semua mereka mempunyai kedudukan yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sudah memilih mereka kerana saya percaya semuanya mampu melaksanakan tanggungjawab diberikan. Semua orang perlu merasai tanggungjawab berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli MMKN Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, pendekatan itu juga bertujuan membolehkan setiap exco mempelajari pelbagai aspek pentadbiran sebagai persediaan melahirkan barisan pemimpin masa depan.

Jelasnya, mereka bukan sekadar tertumpu kepada portfolio masing-masing, sebaliknya perlu memahami selok-belok pengurusan kerajaan negeri secara menyeluruh.

“Barisan kali ini tidak seperti dahulu, apabila seseorang exco hanya memegang satu jawatan. Mereka perlu belajar semua perkara untuk menjadi pemimpin masa depan dan memahami selok-belok keadaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, calon Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam pertimbangan dan akan diumumkan dalam sidang tidak lama lagi.

“Timbalan speaker kita telah lantik iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Yadzil Yaakub manakala bagi speaker, saya masih memikirkannya. Tunggu bulan purnama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini