Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka 6 pagi esok

Jambatan Bailey Jalan Kubu Gajah dibuka 6 pagi esok

IZHAM Hashim (kiri) bersama Mohd. Zawawi (dua dari kanan) melakukan lawatan ke jambatan Bailey Kubu Gajah susulan kejadian jambatan utama runtuh pada 4 November lalu hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jambatan Bailey di Jalan Kubu Gajah di sini akan dibuka kepada orang ramai mulai pukul 6 pagi esok sebagai laluan sementara susulan runtuhan pembetung yang merentangi Sungai Subang pada 4 November lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, jambatan Bailey itu membolehkan penduduk kembali menggunakan laluan berkenaan sementara menunggu pembinaan jambatan baharu yang diluluskan dengan siling peruntukan RM20 juta.

Katanya, kerja awal pembinaan jambatan baharu itu sudah bermula dan rentangnya perlu dipanjangkan bagi memenuhi keperluan kerja tebatan banjir serta pelebaran Sungai Subang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita memerlukan masa satu setengah tahun untuk menyiapkannya. Jambatan baharu itu akan lebih tinggi daripada jambatan ini supaya ada lebih banyak ruang untuk air mengalir di bawahnya.

“Apabila kita hendak membina jambatan baharu nanti, kita akan menyediakan laluan lencongan. Selepas itu, jambatan Bailey ini akan kita buka untuk digunakan di tempat lain.

“Tentang kos pembeliannya dahulu, saya tidak ingat jumlah yang tepat. Mungkin RM3 juta atau RM4 juta. Kita memang menyimpannya untuk digunakan sebagai jambatan sementara,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak pemasangan Jambatan Bailey di Jalan Kubu Gajah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, jambatan Bailey itu dibina satu meter lebih tinggi daripada jambatan lama manakala sebahagian kawasan yang terhakis dan runtuh di bawahnya dibersihkan bagi meluaskan laluan air.

Katanya, sebelum pemasangan bermula, petugas perlu menentukan kedudukan tembok landai supaya jambatan besi itu tidak diletakkan terlalu hampir dengan tebing yang berisiko runtuh.

“Kerja pemasangan sekitar 11 dan 12 November agak mencabar kerana jambatan ini panjang dan mempunyai 12 segmen (bay). Jadi, kita perlu menggunakan sistem pelancaran untuk memasangnya.

“Seramai 32 petugas kita bekerja sepanjang masa. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang bertungkus-lumus siang dan malam sehingga kerja pemasangan dapat disiapkan dalam tempoh empat hingga lima hari,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Mohd. Zawawi Zakaria berkata, pihaknya menyiapkan pemasangan jambatan itu empat hari lebih awal daripada tarikh asal yang ditetapkan pada 24 November ini.

Katanya, jambatan satu rentang sepanjang 36.6 meter dan selebar 7.35 meter itu mampu menampung muatan sehingga 30 tan.

“Kerja-kerja pemasangan struktur jambatan Bailey telah bermula pada 11 November lalu selepas kerja-kerja pengalihan utiliti selesai dilaksanakan. Kerja-kerja pembinaan jambatan baharu dijangka bermula pada tahun hadapan dengan anggaran kos sebanyak RM20 juta.

“Skop projek merangkumi pembinaan jambatan baharu, pembinaan jambatan sementara (lencongan), naik taraf jalan tuju ke jambatan, pengalihan utiliti dan pengambilan balik tanah serta pelebaran sungai mengikut kelebaran sedia ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini