KUALA LUMPUR: Seramai 36 pegawai dan petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan tindakan termasuk ditahan, digantung tugas dan berdepan pertuduhan di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengeluaran pas palsu sejak tahun lalu hingga pertengahan tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan salah laku pegawai, termasuk menjalankan operasi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras ketirisan dalaman.
Katanya, pelaksanaan sistem Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara digital sejak penghujung 2024 turut berjaya mengurangkan kegiatan pemalsuan pelekat pas fizikal hampir 90 peratus tahun ini.
“Pelaksanaan sepenuhnya ePLKS tanpa pelekat fizikal ini yang diintegrasikan dengan sistem biometrik sebenarnya telah membuahkan hasil,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai tindakan terhadap pegawai yang bersekongkol dengan sindiket serta keberkesanan sistem digital dalam membanteras pemalsuan dokumen pekerjaan.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sistem itu membolehkan pengesahan pas dibuat secara digital menggunakan peranti pintar penguat kuasa melalui imbasan kod respons pantas (QR) berpusat yang tidak boleh diklon.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 57,604 warga asing direkodkan menerusi tangkapan dan serahan kepada pihak berkuasa bagi tempoh 1 Januari hingga 15 September lalu.
Katanya, jumlah itu merangkumi 35,109 warga asing yang ditahan dalam operasi JIM, manakala 22,495 lagi diterima melalui serahan di pintu masuk negara dan agensi penguatkuasaan lain.
“Warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 16,744 orang, diikuti Bangladesh (13,543) dan Myanmar (8,452),” katanya.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 41,277 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal selepas selesai proses dokumentasi.
Selain itu, seramai 304,905 pendatang tanpa izin mendaftar di bawah Program Repatriasi Migran 2.0 sehingga 15 September lalu, dengan 243,463 orang sudah pulang secara sukarela.
Beliau menjawab soalan asal Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai statistik pendatang tanpa izin dan tindakan penguatkuasaan kerajaan.-UTUSAN











