KUALA LUMPUR: Sebanyak 34,451 unit barang kes melibatkan 751 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dengan nilai anggaran keseluruhan RM2,344,627.68 bagi tempoh 2010 hingga 2026 dilupuskan hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelupusan itu membabitkan empat daerah iaitu Dang Wangi, Cheras, Putrajaya dan Sentul.
Beliau berkata, barang kes yang dilupuskan termasuk mesin bitcoin, minuman keras, rokok, komputer riba serta barangan lain yang berkaitan kes perjudian, noda dan hiburan, kontraban serta kes am.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 244 kertas siasatan membabitkan barang kes am, 170 kes noda dan hiburan, enam kes bitcoin, 270 kes perjudian serta 61 kes kontraban.
“Pelupusan turut membabitkan wang tunai berjumlah RM2,267,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelupusan barang kes di sini.
Fadil berkata, semua kertas siasatan terlibat sudah selesai dan kes mendapat keputusan serta perintah pelupusan daripada mahkamah.
“Semua barang kes yang terlibat mendapat Perintah Pelupusan Barang Kes mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593),” jelasnya.
Beliau berkata, proses pelupusan dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan ditetapkan bagi memastikan setiap barang kes diuruskan secara teratur, selamat dan berintegriti.
Katanya, langkah itu turut mencerminkan komitmen polis dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.-UTUSAN











