PETALING JAYA: Industri perfileman tempatan menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 10 filem Malaysia berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta tahun ini, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pencapaian itu membuktikan peningkatan kualiti penerbitan, kekuatan penceritaan dan mutu lakonan karya tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton.
Menurutnya, pencapaian itu jauh berbeza berbanding sebelum ini apabila hanya dua atau tiga filem tempatan setahun mampu meraih kutipan melebihi RM10 juta.
Beliau berkata, peningkatan kualiti karya tempatan turut diakui barisan juri Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berdepan persaingan sengit untuk memilih pemenang terbaik berikutan mutu filem yang semakin meningkat.
Dalam usaha memperkukuh kredibiliti FFM35, FINAS turut memperkenalkan sistem penjurian baharu dengan mengekalkan lapan juri profesional serta membabitkan 50 juri industri terdiri daripada bekas pemenang FFM dan pensyarah universiti.
Azmir berkata, penilaian dilaksanakan secara dalam talian dengan identiti juri industri dirahsiakan antara satu sama lain, termasuk daripada pengetahuan juri profesional bagi memastikan proses pemilihan berlangsung secara bebas dan telus.
Katanya, keputusan penilaian 50 juri industri didapati selari dengan pertimbangan juri profesional selepas keseluruhan proses selesai, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan baharu itu.
Sementara itu, FINAS turut memperuntukkan dana RM1 juta kepada pemenang kategori Filem Terbaik FFM35 sebagai dorongan untuk meneruskan penghasilan karya berkualiti, selain menjadikan festival berkenaan platform menyatukan penggiat seni dan masyarakat.
Mengulas usaha memperluas pasaran antarabangsa, Azmir berkata FINAS akan memperkukuh program akses pasaran menerusi penyertaan dalam acara industri seperti MIPCOM di Cannes, Hong Kong FILMART dan Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis, selain kerjasama dengan platform penstriman Netflix, iQIYI dan Viu.
Beliau turut memaklumkan FINAS bakal mengumumkan kerjasama baharu dengan Indonesia termasuk pelaksanaan program Malay Script Lab yang memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan penerbitan bersama bagi memastikan karya tempatan mampu menembusi pasaran lebih luas.











