TAIPING: Bapa kepada pelajar lelaki tingkatan tiga yang ditemukan meninggal dunia dalam kejadian di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar semalam, berharap siasatan berhubung kematian anaknya itu dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Mohd. Idzwan Razali, 48, berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian remaja terbabit.
“Saya tidak boleh ulas lebih, cuma mahu siasatan yang telus dan menyeluruh, itu harapan saya.
“Pihak sekolah pun ada terangkan (situasi yang berlaku) namun semua perkara masih tertakluk kepada hasil siasatan dan bedah siasat. Jadi, saya tak boleh buat sebarang andaian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Taiping, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Idzwan, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa anaknya itu oleh pihak polis dan pengetua sekolah sekitar pukul 3 hingga 4 petang semalam.
Katanya, anak ketiga daripada lima beradik itu telah bersekolah di sekolah berkenaan sejak tingkatan satu dan sepanjang pengetahuannya sesi persekolahan anaknya berjalan lancar seperti biasa.
“Persekolahan berjalan seperti biasa, begitu juga keadaan di asrama. Sama seperti pelajar-pelajar lain,” katanya.
Tambahnya, komunikasi terakhir dengan anaknya adalah menerusi aplikasi Telegram apabila mangsa menghantar pesanan teks berkaitan rutin biasanya di sekolah.
Katanya, anaknya itu ada pulang bercuti di rumah mereka di Kuala Lumpur ketika cuti persekolahan baru-baru ini.
“Arwah seorang anak yang baik. Isteri saya pun masih bersedih dengan kehilangan anak kami,” katanya.
Menerusi laporan media semalam, seorang pelajar lelaki ditemukan tidak sedarkan diri dalam bangunan sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar.
Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.-UTUSAN











