Kerajaan pertimbang wang ihsan kepada peniaga kecil terjejas banjir

Kerajaan pertimbang wang ihsan kepada peniaga kecil terjejas banjir

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada peniaga kecil yang mengalami kerugian akibat banjir sedang dipertimbangkan dan akan dibawa kepada jawatankuasa pengurusan pusat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian memandangkan banjir bukan sahaja menjejaskan kediaman, malah menyebabkan peniaga kecil mengalami kerugian.

Katanya, kerajaan perlu mengambil kira nasib semua golongan yang terjejas akibat bencana berkenaan termasuk mangsa yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu cadangan yang baik dan insya-Allah saya akan bawa ke jawatankuasa pengurusan pusat mengenai perkara itu.

“Ini adalah sesuatu yang harus difikirkan tetapi kita harus ingat, ini takdir daripada Allah dan bukan kita mahu membayar pampasan tetapi memberikan bantuan. Jadi keprihatinan itu harus diberikan keutamaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) berhubung cadangan memperluas kelayakan BWI kepada mangsa banjir yang tidak berpindah atau mendaftar di PPS, termasuk peniaga kecil yang mengalami kerugian.

Ahmad Zahid berkata, terdapat mangsa yang tidak dapat berpindah ke PPS, walaupun kediaman mereka terjejas banjir.

Katanya, peniaga kecil turut mengalami kerugian akibat bencana berkenaan tetapi tidak termasuk dalam kategori penerima bantuan tersebut.

Ujarnya, cadangan pemberian bantuan yang mengambil kira pengesahan kerosakan atau kesan sebenar bencana dan bukan hanya bergantung kepada status pendaftaran mangsa di PPS akan diberi pertimbangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini