Sengaja buat pemeriksaan kesihatan tengok keadaan jantung, semua okey - Amy Search - Utusan Malaysia

Sengaja buat pemeriksaan kesihatan tengok keadaan jantung, semua okey – Amy Search

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search meluahkan rasa syukur apabila pemeriksaan kesihatan termasuk jantung yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan keputusan baik.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, pemeriksaan tersebut dilakukan atas inisiatif sendiri dan bukan disebabkan sebarang masalah kesihatan atau gejala tertentu.

“Saya memang sengaja pergi buat pemeriksaan kesihatan. Saya mahu tengok keadaan jantung, sama ada semuanya okey atau tidak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya beritahu doktor pakar yang saya kenal, Dr. Izzani, bahawa saya mahu menjalani pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

“Jadi, saya pergi buat pemeriksaan itu termasuk angiografi. Alhamdulillah, semuanya okey,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert A Night of Soul, baru-baru ini.

Berkongsi rahsia kekal aktif meskipun usia semakin meningkat, vokalis kumpulan Search itu memberitahu dia tidak mengamalkan rutin senaman khusus, sebaliknya gemar melakukan pelbagai kerja rumah bagi memastikan tubuhnya sentiasa bergerak aktif.

“Alhamdulillah, semuanya atas doa peminat. Kalau nak tahu rahsia yang lebih daripada itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalau saya tidak bekerja, dari pagi sampai petang memang saya buat kerja rumah sahaja.

“Saya suka buat kerja rumah sampai keluar peluh. Saya naik turun tangga, buat kerja dekat pokok-pokok dan macam-macam lagi. Memang ada sahaja kerja yang saya nak buat. Sampai isteri saya pun bising sebab tidak berhenti buat kerja rumah,” katanya.

Ditanya mengenai rutin pemakanannya, penyanyi lagu Isabella itu mengakui tidak terlalu mengamalkan diet ketat, namun ada kalanya mengehadkan pengambilan nasi dan mengelakkan makan terlalu lewat malam.

“Tak adalah jaga sangat. Kadang-kadang saya cakap minggu ini tak payah makan nasi, jadi saya tak makan nasi. Kalau saya bersarapan dengan kenyang, tengah hari saya tak rasa lapar sangat. Jadi, saya tak makan dan tunggu sampai petang.

“Malam pula saya jarang makan. Biasanya sebelum masuk waktu Maghrib, saya makan nasi sedikit. Kalau malam, saya lebih suka makan kerepek sambil menonton televisyen. Itu memang tabiat saya,” kongsinya.

Mengulas mengenai konsert A Night of Soul, Amy bakal berkongsi pentas bersama penyanyi Indonesia, Cakra Khan dalam acara yang dijadualkan berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines.

Konsert yang berlangsung pada 12 Disember itu juga bakal dimeriahkan oleh barisan penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Ziana Zain, Siti Nordiana dan Khai Bahar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini