Hans Isaac, penantian panjang untuk jodoh yang tepat - Utusan Malaysia

Hans Isaac, penantian panjang untuk jodoh yang tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada istilah terlambat dalam soal jodoh. Itu pegangan pelakon dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, yang akhirnya menemui wanita pilihan hati selepas melalui perjalanan panjang dalam pencarian cinta.

Pada usia 55 tahun, Hans mengakui tidak pernah menganggap dirinya sudah terlambat untuk mendirikan rumah tangga, apatah lagi apabila takdir akhirnya menemukan dia dengan wanita yang dirasakan tepat untuk menjadi teman hidupnya, Francisca Luhong, kini.

Bagi Hans, soal jodoh bukan sesuatu yang boleh dipaksa mengikut garis masa tertentu. Sebaliknya, dia percaya setiap orang mempunyai perjalanan hidup masing-masing dan apa yang lebih penting adalah kesediaan untuk menerima seseorang seadanya, selain tidak pernah berputus asa dalam mencari kebahagiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, pelakon yang sudah lebih tiga dekad mewarnai industri seni tanah air itu secara terbuka menitipkan pesanan kepada golongan lelaki yang masih mencari pasangan agar tidak terlalu dibelenggu ego sehingga menutup peluang untuk mengecapi kebahagiaan.

“Kalau hendak bercakap mengenai soal jodoh, saya rasa tidak ada istilah terlambat. Lelaki yang berusia 55 tahun pun masih ada harapan. Boleh, jangan putus asa. Cuma kita kena berusaha. Satu perkara yang lelaki perlu faham, kita ini ada ego.

“Jadi, kalau masih mahu mempertahankan ego sendiri, saya rasa agak susah untuk bercinta. Dalam hubungan, kita kena belajar meletakkan ego ke tepi dan menerima pasangan dengan segala kelebihan serta kekurangannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan hidupnya, Hans tidak menafikan sekiranya dia mendirikan rumah tangga ketika usia lebih muda, dirinya mungkin belum cukup matang untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

Katanya, kematangan mengajarnya untuk tidak bertindak mengikut emosi, sebaliknya memberikan ruang kepada pasangan apabila berdepan perbezaan pendapat atau perselisihan faham.

“Kalau saya berkahwin ketika muda dahulu, mungkin saya belum cukup matang untuk mendirikan rumah tangga. Sekarang saya lebih memahami bahawa bukan semua perkara perlu diberikan reaksi serta-merta.

“Kalau ada sesuatu yang tidak kena, kita boleh bertenang dahulu dan berbincang keesokan harinya. Dulu, ketika muda, kita terlalu cepat memberikan reaksi dan kadangkala perkara itu tidak sihat untuk sesebuah persahabatan mahupun hubungan percintaan,” katanya.

Mengakui Francisca mempunyai karakter tersendiri, Hans berkata, dia juga tidak mengharapkan pasangan yang sempurna kerana sedar setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Baginya, hubungan yang baik bukan bergantung kepada persamaan dalam segala perkara, sebaliknya kemampuan dua individu untuk saling memahami, bertolak ansur dan menerima perbezaan.

Berkongsi mengenai keistimewaan wanita yang berjaya menawan hatinya itu, Hans memberitahu, hubungan mereka sebenarnya bermula sebagai sahabat sejak enam hingga tujuh tahun lalu sebelum masing-masing menyedari mempunyai nilai kehidupan dan pandangan yang hampir sama.

Lebih istimewa, Francisca bukan sahaja mudah menyesuaikan diri dengan kelompok sahabatnya, malah berjaya menjalinkan hubungan rapat dengan ahli keluarganya, sesuatu yang dianggap cukup penting dalam memilih teman hidup.

“Dia memenangi hati saya dengan cara yang sangat semula jadi. Dia tidak pernah cuba menjadi orang lain atau melakukan sesuatu secara berlebihan untuk menarik perhatian saya. Saya suka melihat bagaimana dia boleh membawa diri apabila bersama kawan-kawan saya.

“Kalau pergi ke majlis besar, dia boleh menyesuaikan diri, tetapi dalam suasana santai pun dia tidak kekok. Paling penting, dia juga mudah rapat dengan keluarga saya. Saya mahu pasangan hidup yang boleh berkawan, menyayangi dan meluangkan masa bersama keluarga serta anak-anak buah saya. Bagi saya, perkara seperti itu bukan mudah untuk ditemukan.

“Dengan dia, kami boleh bergurau, saling mengusik dan ketawa bersama tanpa perlu risau ada pihak yang mudah terasa hati. Saya juga seorang yang serius apabila bekerja, tetapi apabila pulang ke rumah atau berjumpa dengannya, saya mahu suasana yang santai.

“Kami boleh memasak bersama, berbual, bercuti atau makan di tepi jalan. Kalau dapat makan di restoran lima bintang pun tidak mengapa, tetapi kalau perlu makan secara sederhana juga tiada masalah baginya.

“Dia bukan seseorang yang terlalu mementingkan perkara seperti itu. Apa yang lebih penting bagi dia ialah perhatian dan bagaimana saya menjaga hatinya. Bagi saya, itulah antara perkara yang membuatkan saya menghargai kehadirannya dalam hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Hans menjelaskan keputusan untuk mengumumkan berita pertunangan mereka secara terbuka bukanlah bertujuan meraih perhatian atau meningkatkan populariti di media sosial.

Sebaliknya, dia merasakan sudah tiba masanya untuk berkongsi berita gembira itu dengan masyarakat yang selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya seninya.

Hans berkata, pada awalnya dia lebih selesa menyimpan hal peribadi daripada pengetahuan umum kerana tidak mahu kehidupan percintaannya mengatasi perhatian terhadap hasil kerja dan sumbangannya dalam industri kreatif.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira sokongan yang diterimanya selama lebih 30 tahun, dia merasakan masyarakat berhak mengetahui perkembangan bahagia tersebut.

“Saya sudah 30 tahun berada dalam industri ini. Sepanjang tempoh itu, rakyat Malaysia sentiasa menyokong saya dalam filem, lakonan, pengarahan dan pelbagai kerja seni yang saya lakukan. Saya rasa saya terhutang budi kepada masyarakat yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya saya.

“Jadi, sekurang-kurangnya saya perlu berkongsi berita baik ini. Cuma niat saya bukan untuk mengadakan acara besar-besaran, mendapatkan pengikut baharu atau meraih populariti di media sosial. Saya hanya mahu mengumumkannya secara sederhana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hans turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan tahniah serta kata-kata semangat buat mereka berdua.

Mengenai perancangan perkahwinan, Hans berkata, mereka sudah mempunyai gambaran mengenai tarikh yang sesuai, namun perlu mengambil kira komitmen kerja serta beberapa persiapan lain sebelum melangkah ke fasa seterusnya.

Pasangan itu merancang mengadakan majlis perkahwinan sekitar pertengahan 2027, dengan dua majlis dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak bagi meraikan keluarga serta kenalan kedua-dua belah pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini