Ibu tunggal empat anak cekal raih ijazah Kejuruteraan Awam

Ibu tunggal empat anak cekal raih ijazah Kejuruteraan Awam

NUR Aidilla Mohd Badrulshah bersama empat anaknya sempena Majlis Konvensyen UTM ke-70 di UTM, Skudai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal kepada empat anak bukan penghalang buat Nur Aidilla Mohd. Badrulshah, 41, untuk mengejar cita-cita apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-70.

Di sebalik kejayaan itu, anak kelahiran Besut, Terengganu berkenaan terpaksa mengharungi pelbagai cabaran apabila perlu membahagikan masa antara kerjaya, tanggungjawab membesarkan empat anak serta pengajian secara jarak jauh (PJJ).

Lebih mencabar, beliau yang sudah sembilan tahun bergelar ibu tunggal perlu menguruskan kehidupan bersama empat anaknya, Muhammad Rayhan, 14; Muhammad Rizky, 13; Nur Aisyah, 12, dan Nur Aiyra, sembilan tahun, tanpa mengabaikan keperluan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, beliau memulakan pengajian di UTM pada 2021 ketika masih bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Dungun, Terengganu dan perlu memastikan tanggungjawab sebagai ibu serta pekerja berjalan seiring dengan tuntutan akademik.

“Setiap hari selepas pulang kerja, saya akan meluangkan masa bersama anak-anak dan menguruskan kerja rumah. Kami juga melakukan kerja rumah bersama-sama sebelum saya meneruskan urusan pengajian.

“Biasanya, saya akan menggunakan hujung minggu untuk menyelesaikan urusan rumah dan memastikan segala keperluan anak-anak teratur sebelum menghadiri kelas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Nur Aidilla berkata, pengorbanan masa dan tenaga menjadi perkara biasa sepanjang tempoh pengajian kerana beliau perlu memastikan anak-anak mendapat perhatian sewajarnya meskipun sibuk dengan tugasan dan kelas.

Malah, pengajian yang memerlukan beliau menghadiri kelas di Kota Bharu dan Kuala Lumpur turut menuntut perancangan rapi supaya urusan keluarga dan pembelajaran tidak terjejas.

Beliau menerima ijazah berkenaan sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 yang berlangsung selama enam hari bermula semalam, dengan seramai 7,369 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 680 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1,614), Ijazah Sarjana Muda (4,228) dan Diploma (778). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini