KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga, didorong prestasi eksport yang kukuh serta permintaan dalam negeri yang terus berkembang.
Ekonomi negara berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026.
Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, pertumbuhan eksport terus mengukuh, didorong oleh eksport berkaitan teknologi merentas produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.
“Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, dan pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“Walau bagaimanapun, pertumbuhan menjadi sederhana berikutan kesan asas yang berpunca daripada pemindahan tunai yang lebih tinggi pada suku ketiga 2025.
“Pertumbuhan pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh untuk struktur serta jentera dan peralatan,” katanya dalam sidang akhbar prestasi ekonomi suku ketiga 2026 di Sasana Kijang, di sini hari ini.
Dari segi penawaran, beliau berkata, pertumbuhan disokong oleh prestasi kukuh yang berterusan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan didorong oleh pertumbuhan perkhidmatan perniagaan yang lebih kukuh.
“Aktiviti sektor perkilangan berkembang dengan lebih pantas, sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan global yang kukuh berkaitan kecerdasan buatan (AI) terhadap produk berkaitan teknologi,” katanya.
Menurutnya, pertumbuhan sektor pertanian menjadi kukuh berikutan kadar hasil minyak sawit yang meningkat di seluruh negara.
“Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penguncupan berikutan pengeluaran minyak dan gas asli yang lebih rendah disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan berjadual.
“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.5 peratus berbanding 2.5 peratus pada suku kedua 2026,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.9 peratus berbanding 1.9 peratus pada suku kedua 2026 manakala inflasi teras menurun kepada 1.7 peratus berbanding 1.9 peratus pada suku kedua 2026.
“Tekanan menaik terhadap inflasi keseluruhan didorong terutamanya oleh caj elektrik yang lebih tinggi 2 peratus berbanding 3.7 peratus pada suku kedua 2026 berikutan kenaikan surcaj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) pada suku tersebut.
“Keadaan ini sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi bahan api yang lebih rendah 1.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku kedua 2026, susulan pelaksanaan diesel bersubsidi menerusi program BUDI Diesel pada bulan Julai 2026,” katanya. – UTUSAN











