PORTIMAO: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia terpaksa melupakan Grand Prix (GP) Portugal yang berlangsung dari 20 hingga 22 November ini selepas mengalami kecederaan kaki, sekali gus membuka peluang kepada Iker Lecuona untuk menggantikannya.
Ducati mengesahkan pelumba Sepanyol itu secara rasmi akan mengambil tempat Bagnaia yang mengalami kemalangan ketika perlumbaan pecut GP Qatar di Litar Lusail pada pusingan sebelum ini.
Bagnaia terjatuh selepas dilanggar Fermin Aldeguer pada pusingan pertama perlumbaan pecut, menyebabkan motosikalnya melambung sebelum pelumba Itali itu mengalami keretakan pada dua tulang di bahagian kakinya dalam insiden tersebut.
Juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebanyak dua kali itu kemudian terlepas perlumbaan utama Qatar dan segera pulang ke Itali untuk menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan yang dialaminya selepas insiden berkenaan.
Bagnaia pada mulanya berharap dapat kembali bagi dua perlumbaan terakhir musim ini, yang juga menjadi penampilan terakhirnya bersama pasukan pengeluar Ducati sebelum berpindah ke Aprilia.
Bagaimanapun, Ducati mengesahkan beliau tidak dapat berlumba di Portugal, sekali gus menyaksikan Bagnaia terlepas keseluruhan hujung minggu perlumbaan buat kali pertama sejak musim 2020 sepanjang kariernya.
Kali terakhir beliau mengalami situasi sama adalah selepas patah kaki di Brno pada 2020, yang menyebabkan pelumba itu terpaksa menarik diri daripada dua perlumbaan di Austria.
Lecuona yang kini beraksi bersama Ducati dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) pernah menggantikan Fermin Aldeguer dan Alex Marquez bersama pasukan Gresini, termasuk dalam tiga perlumbaan terakhir berturut-turut.
Ducati berharap Bagnaia dapat kembali beraksi di Valencia sebelum menyertai ujian selepas musim, apabila beliau dijadual mencuba jentera Aprilia 2027 dan tayar Pirelli. – AGENSI
KAPSYEN
FRANCESCO BAGNAIA











