KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum berkongsi sebarang luahan atau rasa tidak puas hati di media sosial kerana bimbang tindakan itu akhirnya memakan diri.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, berkata, platform Threads kini dilihat menjadi ruang pilihan segelintir individu untuk meluahkan perasaan serta menyuarakan perkara yang terbuku di hati.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak mampu mengikuti setiap isu yang tercetus di platform berkenaan selain pernah terjebak dengan budaya meluahkan perasaan secara terbuka di media sosial.
Menurutnya, setiap individu perlu memainkan peranan dengan lebih bijak mengawal perkongsian agar tidak bertindak mengikut emosi semata-mata.
“Saya memang tidak boleh hendak mengikuti semua isu di Threads. Adakala tak sempat ‘catch up’ pun. Dari dulu saya perasan, Threads menjadi tempat individu meluahkan segala perkara yang tidak memuaskan hati.
“Kadang-kadang saya pun terjebak juga. Jadi, tidak boleh hendak menyalahkan orang lain kerana ini sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat kita.
“Mungkin kita semua boleh berubah dan menjadi lebih berhati-hati ketika berkongsi sesuatu di media sosial.
“Saya sudah belajar daripada kesilapan lalu. Kalau dahulu, saya turut memberikan respons, tetapi kita tidak boleh meluahkan setiap perasaan di media sosial,” katanya.
Diana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Telefilem Like & Latte di Eleventea, Wangsa Maju, semalam.
Menerusi telefilem itu, Diana turut bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Shahz Jaszle, Nadia Brian dan Razzuan Rosli.
Mengulas lanjut, Diana tidak menafikan setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing di media sosial.
Namun, katanya, sebarang dakwaan atau perkara yang dibangkitkan perlu disokong bukti kukuh, termasuk dokumen berkaitan, bagi mengelakkan seseorang berdepan implikasi undang-undang.
“Pada saya, tidak salah untuk bersuara di media sosial. Tetapi, pastikan setiap perkara yang kita bangkitkan disertakan dokumen seperti laporan polis atau dokumen mahkamah.
“Mungkin ketika menulis, kita sedang sakit hati kerana merasakan diri ditindas. Namun, perkara itu boleh memakan diri sekiranya kita gagal membuktikannya di mahkamah.
“Kita kena bijak, pastikan semua bukti ada dan gunakan saluran yang sepatutnya.
“Kita juga perlu bersabar untuk mendapatkan keadilan. Memang bukan mudah untuk melakukannya, tetapi itulah cara terbaik,” katanya.











