Kembalikan kebenaran berasaskan bukti

Kembalikan kebenaran berasaskan bukti

BUKTI dan fakta perlu dihormati bagi memastikan keadilan, kepercayaan terhadap institusi serta keamanan masyarakat terus terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia sains, bukti menjadi ukuran kebenaran, manakala dalam sistem perundangan, ia menjadi asas menegakkan keadilan. Namun, kebelakangan ini semakin ketara kecenderungan sesetengah pihak mengetepikan fakta, memanipulasi data dan mengetengahkan dakwaan tanpa asas. Penolakan terhadap bukti bukan sekadar mencerminkan kelemahan pemikiran, malah boleh mengancam keamanan dan kestabilan dunia.

Keadaan ini dapat dilihat apabila data perubahan iklim diketepikan sehingga tanggungjawab menangani pemanasan global turut diabaikan. Begitu juga dalam bidang perundangan apabila bukti forensik yang boleh membebaskan orang tidak bersalah atau mensabitkan pesalah tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Jika amalan ini berterusan, kepercayaan masyarakat terhadap institusi keadilan dan kedaulatan undang-undang akan semakin terhakis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Fenomena tersebut semakin meluas merentasi sempadan, ideologi dan budaya. Antara puncanya termasuk pengaruh media sosial yang mewujudkan ruang gema, kelemahan pendidikan sivik serta sentimen populis yang lebih mengutamakan emosi berbanding fakta. 

Dalam keadaan ini, masyarakat lebih mudah mempercayai dakwaan yang selari dengan pandangan sendiri daripada menerima bukti yang sahih. Sikap sedemikian boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat kestabilan sesebuah negara.

Bagi menangani masalah ini, tiga pendekatan perlu diberi perhatian, iaitu memudahkan penyampaian bukti, membuka ruang pengesahan kepada masyarakat dan memastikan pihak yang memanipulasi fakta bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Pertama, bukti perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami. Golongan saintis dan pakar perundangan tidak seharusnya bergantung pada istilah teknikal sehingga menyukarkan masyarakat memahami sesuatu isu. 

Sebagai contoh, kesan perubahan iklim lebih mudah difahami melalui gambaran empangan yang semakin kering berbanding penerangan model saintifik yang rumit. Begitu juga proses perbicaraan yang telus dapat membantu orang ramai memahami bagaimana keadilan ditegakkan. 

Penyampaian fakta perlu dekat dengan kehidupan masyarakat supaya mereka dapat menilai sesuatu perkara berdasarkan maklumat yang tepat.

Kedua, proses pengesahan fakta perlu lebih terbuka. Krisis kepercayaan terhadap institusi menyebabkan sebahagian masyarakat meragui maklumat yang disampaikan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, sumber data perlu boleh diakses, manakala pengauditan bebas terhadap maklumat kehakiman dan alam sekitar perlu diperluas. 

Penglibatan masyarakat dalam inisiatif sains rakyat juga boleh membantu meningkatkan keyakinan terhadap ketepatan sesuatu maklumat. Ketelusan membolehkan orang ramai menilai sendiri fakta, sekali gus mengurangkan ruang manipulasi.

Ketiga, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap penyelewengan bukti yang disengajakan. Pemalsuan kelayakan profesional, penyembunyian laporan saintifik dan manipulasi fakta undang-undang tidak boleh dibiarkan tanpa akibat. 

Langkah ini tidak bermaksud menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan setiap pihak bertanggungjawab terhadap maklumat yang disebarkan. Akauntabiliti penting supaya pembohongan tidak menjadi alat meraih keuntungan politik atau kepentingan peribadi.

Usaha ini sememangnya bukan mudah kerana pihak yang memanipulasi maklumat mempunyai pengaruh dan sumber yang besar. Namun, sejarah membuktikan manusia mampu melakukan pembaharuan apabila berhadapan ancaman terhadap kelangsungan hidup. 

Kejayaan menghasilkan Perjanjian Paris dan penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa menunjukkan kerjasama global mampu dibentuk demi menangani cabaran bersama.

Hakikatnya, kedaulatan undang-undang dan kelestarian alam sekitar saling berkait melalui prinsip akauntabiliti. Pengabaian bukti perubahan iklim boleh mencetuskan krisis sumber dan konflik, manakala penolakan fakta dalam sistem kehakiman pula boleh meruntuhkan kepercayaan terhadap keadilan. Kedua-duanya akhirnya memberi kesan kepada keamanan dunia.

Bukti dan fakta mesti dihormati sebagai asas membuat keputusan, bukannya diperlakukan sebagai pandangan yang boleh diubah mengikut kepentingan. Masyarakat yang menghargai kebenaran akan lebih mampu mempertahankan keadilan, kestabilan dan keamanan bersama. -UTUSAN

 

PROFESOR DATUK DR. AHMAD IBRAHIM 

Pusat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Tan Sri Omar di IISDS, 

UCSI University dan  

Profesor Adjung di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC),

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini