ZAMAN digital menyaksikan manusia semakin mudah meluahkan pandangan, berhujah dan membina pengaruh melalui media sosial. Namun, kepetahan berkata-kata tidak semestinya mencerminkan kemahiran komunikasi yang baik.
Kita mungkin hidup dalam zaman yang paling banyak bercakap tetapi belum tentu menjadi masyarakat yang bijak berkomunikasi.
Keupayaan seseorang berkomunikasi bukan sekadar diukur melalui kelancaran berbicara atau ketajaman hujah. Sebaliknya, kematangan terserlah melalui cara seseorang mendengar pandangan berbeza, menegur tanpa menghina dan mengawal emosi ketika berhadapan dengan perselisihan. Di sinilah adab dan jati diri memainkan peranan penting.
Dalam bidang komunikasi, konsep kompetensi komunikasi yang diperkenalkan Brian Spitzberg menekankan dua aspek utama iaitu keberkesanan mencapai matlamat dan kesesuaian cara penyampaian mengikut keadaan. Seseorang mungkin berjaya mendapatkan sesuatu melalui tengkingan atau penghinaan tetapi tindakan itu tidak menggambarkan komunikasi yang matang kerana mengabaikan maruah orang lain.
Hakikatnya, adab bukan sekadar kesopanan dalam penggunaan bahasa, sebaliknya menjadi kawalan dalaman ketika berinteraksi. Kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang boleh mengabaikan kesan kata-katanya. Teguran boleh disampaikan dengan tegas tanpa merendahkan pihak lain, manakala perbezaan pandangan tidak seharusnya bertukar menjadi permusuhan.
Cabaran ini semakin ketara dalam komunikasi digital. Fenomena online disinhibition effect yang dihuraikan John Suler menjelaskan kecenderungan manusia menjadi lebih terbuka atau agresif ketika berkomunikasi dalam talian berbanding secara bersemuka.
Ketiadaan hubungan fizikal menyebabkan sesetengah individu lebih mudah melemparkan penghinaan kerana tidak melihat kesan emosi terhadap penerimanya.
Keadaan ini menunjukkan kemudahan teknologi tidak semestinya meningkatkan mutu komunikasi. Sebaliknya, masyarakat perlu membina kesedaran bahawa setiap perkataan yang ditulis dan disebarkan membawa tanggungjawab.
Undang-undang boleh mengawal kandungan berbahaya, tetapi tidak mampu membentuk adab tanpa kesedaran individu.
Selain itu, kemahiran mendengar perlu diberikan perhatian. Komunikasi yang baik menuntut seseorang memahami pandangan orang lain sebelum memberikan respons.
Kemampuan menerima kritikan, mengakui kesilapan dan mengurus perbezaan pendapat juga perlu dipupuk sejak di bangku sekolah, dalam keluarga serta di tempat kerja.
Kehadiran kecerdasan buatan (AI) turut menambah cabaran apabila teknologi mampu menghasilkan ayat sopan dan permohonan maaf yang kelihatan meyakinkan. Namun, bahasa yang tersusun tidak semestinya lahir daripada keikhlasan. Adab tetap bergantung pada nilai, niat dan tanggungjawab manusia yang menggunakannya.
Kesimpulannya, kepetahan mungkin menarik perhatian, tetapi adab menentukan sejauh mana seseorang dihormati dan dipercayai. Teknologi boleh membantu menyusun kata-kata, namun manusia tetap bertanggungjawab memastikan setiap tutur kata mencerminkan nilai dan jati diri. –UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sixtysix Action Academy











