PETALING JAYA: Isu banjir tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai masalah pembangunan infrastruktur, sebaliknya sudah menjadi kecemasan yang memerlukan tindakan segera kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kejadian banjir bukan sahaja menyebabkan kerosakan kediaman dan harta benda, malah turut menjejaskan keselamatan, sumber pendapatan serta kehidupan harian rakyat.
Katanya, kejadian pada 2 November lalu di Kampung Melayu Subang, apabila seorang penduduk terpaksa mendukung ibu bapanya yang berusia ketika banjir melanda, menggambarkan risiko yang dihadapi penduduk.
“Kita perlu memahami bahawa apabila banjir berlaku, bukan hanya rumah dan harta benda yang terjejas, malah sistem keselamatan, sumber pendapatan serta kehidupan seharian rakyat turut terganggu.
“Untuk perhatian Dewan, sehingga hari ini, ketika kita sedang membahaskan perkara ini, ribuan mangsa banjir masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor. Mereka masih belum dapat kembali ke kediaman masing-masing dan keadaan ini berlarutan sejak minggu lalu.” katanya dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih 1,000 mangsa bah di negeri ini, pada hari ini masih ditempatkan di enam PPS di Kuala Selangor berikutan kediaman mereka berdepan banjir termenung sejak minggu lalu.
Situasi tersebut dibimbangi mengganggu persiapan pelajar Tingkatan 5 di kawasan terjejas yang bakal menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Isnin depan.
Menerusi maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak enam sekolah dijadikan PPS yang menempatkan 307 keluarga iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela, SK Parit Mahang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching, Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah, Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok.
Dalam pada itu, Nurul Syazwani turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penggunaan mekanisme yang bersesuaian bagi mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir kritikal, tertakluk kepada kedudukan kewangan negara serta peraturan berkaitan.
“Pada pandangan saya, pendekatan berhemat dalam perbelanjaan kerajaan tidak sepatutnya bermaksud menangguhkan penyelesaian terhadap masalah rakyat yang semakin mendesak,” jelasnya. – UTUSAN











