PETALING JAYA: UMNO Negeri Sembilan memberikan keyakinan atas kebijaksanaan dan akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berhubung isu peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menyeru semua pihak supaya kekal bertenang dan menghormati proses yang sedang berlangsung.
“Dalam memastikan proses ini berjalan dengan baik, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan memberikan keyakinan atas kebijaksanaan dan akan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan. Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu pada 16 November lalu dan merakamkan penghargaan atas segala khidmat serta sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, UMNO Negeri Sembilan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Kami menghormati keputusan ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat serta sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
“Sehubungan dengan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










