MELAKA: Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal diberi tempat dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk dalam tempoh terdekat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pembentukan barisan Exco itu akan diperhalusi dengan mengambil kira kemampuan, keupayaan dan kebolehan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memikul tanggungjawab yang bakal diamanahkan.
Beliau berkata, barisan Exco yang akan dibentuk juga perlu mempunyai daya saing serta pemikiran kreatif bagi memastikan usaha memajukan Melaka dapat dilaksanakan secara berpasukan.
“Pastinya semua parti akan diwakili dalam barisan Exco ini. Saya akan perhalusi, membuat pertimbangan dan kajian mengenai keperluan lantikan Exco mengikut kemampuan dan keupayaan seseorang ADUN untuk memikul tanggungjawab.
“Saya memerlukan mereka yang mempunyai daya saing dan pemikiran kreatif untuk sama-sama memajukan Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memasuki pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini hari ini selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13, Ahad lalu.
Setakat ini, enam penyandang Exco berjaya mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN Melaka iaitu Datuk Rais Yasin (Sungai Udang), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas), Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (Merlimau), Datuk Fairul Nizam Roslan (Asahan), Datuk Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau).
Bagaimanapun, empat penyandang Exco tidak lagi berada dalam senarai ADUN yang bertanding apabila Datuk Kalsom Noordin, Datuk VP Shanmugam dan Datuk Rahmad Mariman digugurkan daripada senarai calon BN, manakala seorang lagi penyandang, Allex Seah Shoo Chin (Kesidang) daripada DAP menarik diri selepas parti itu mengambil keputusan keluar daripada kerajaan perpaduan negeri sebelum pembubaran DUN.
Ditanya kemungkinan enam penyandang Exco yang memenangi semula kerusi masing-masing dikekalkan dalam barisan pentadbiran negeri, Ab Rauf berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan dan akan diteliti terlebih dahulu.
Katanya, beliau akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan serta keupayaan setiap ADUN sebelum menentukan portfolio yang bakal diberikan.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, jumlah jawatan Exco tertakluk kepada had yang dibenarkan iaitu tidak melebihi 10 orang, selain menegaskan senarai nama hanya akan diumumkan selepas proses penelitian dan pertimbangan selesai.
Beliau turut memberi bayangan akan mengekalkan amalan penggal lalu dengan melantik 10 wakil rakyat sebagai Timbalan Exco bagi membantu anggota Exco melaksanakan tanggungjawab mengikut portfolio masing-masing.
Beliau berkata, pelantikan itu dijangka memberi ruang kepada lebih ramai wakil rakyat memainkan peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri, selain membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, setiap wakil rakyat perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mengukur pencapaian serta memastikan amanah yang diberikan pengundi dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Beliau berkata, semua wakil rakyat perlu mempunyai sasaran pencapaian bagi memastikan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dan dinilai berdasarkan hasil kerja.
“Jadi wakil rakyat ini bukan duduk hendak minum kopi, pakai baju cantik dan bergaya. Wakil rakyat kena turun berjumpa rakyat, mendengar apa yang mereka mahu dan mengambil pandangan mereka,” katanya. – UTUSAN











