UTI boleh jejaskan buah pinggang

Bermula dengan pedih ketika kencing, UTI boleh jejaskan buah pinggang

JANGKITAN UTI boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian bawah perut atau pelvis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN anggap rasa pedih ketika membuang air kecil sebagai masalah kecil yang boleh dibiarkan begitu sahaja.

Gejala yang kelihatan biasa itu mungkin petanda jangkitan saluran kencing atau Urinary Tract Infection (UTI), yang jika tidak dirawat dengan betul boleh merebak sehingga menjejaskan buah pinggang.

UTI antara masalah kesihatan yang kerap dialami masyarakat, khususnya wanita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, dianggarkan 50 hingga 60 peratus wanita akan mengalami sekurangkurangnya satu episod jangkitan itu sepanjang hayat mereka.

Walaupun sering dianggap sebagai jangkitan biasa, UTI tidak seharusnya dipandang ringan kerana bakteria yang menyerang sistem urinari boleh menjangkiti beberapa organ termasuk uretra, pundi kencing, ureter dan buah pinggang.

Pakar Perunding Urologi dan Pembedahan Robotik Hospital Gleneagles Johor, Dr. Zainal Adwin Zainal Abiddin berkata, wanita mempunyai risiko lebih tinggi mengalami UTI berbanding lelaki disebabkan perbezaan anatomi tubuh.

Menurutnya, uretra wanita yang lebih pendek, iaitu kira-kira empat sentimeter, memudahkan bakteria memasuki pundi kencing dan menyebabkan jangkitan.

“Selain itu, kedudukan uretra yang berhampiran dengan dubur juga meningkatkan risiko perpindahan bakteria seperti Escherichia coli (E. coli), yang merupakan punca utama kebanyakan kes UTI,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Risiko turut meningkat dalam kalangan beberapa kumpulan termasuk warga emas yang mempunyai sistem imun lemah, pesakit diabetes dengan kandungan gula tinggi dalam air kencing, wanita hamil akibat perubahan hormon serta individu yang menggunakan kateter.

Keadaan berkenaan boleh mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk bakteria membiak dalam saluran kencing.

JANGAN TUNGGU SEHINGGA DEMAM DAN SAKIT BELAKANG

Antara cabaran mengenal pasti UTI adalah simptom awalnya sering dianggap sebagai gangguan biasa yang akan pulih dengan sendiri.

Rasa pedih atau terbakar ketika membuang air kecil, kerap berasa hendak ke tandas walaupun air kencing yang keluar sedikit serta rasa tidak puas selepas kencing merupakan antara tanda lazim yang perlu diberikan perhatian.

Ada juga pesakit mengalami perubahan pada air kencing seperti menjadi keruh, berbau lebih kuat daripada biasa atau bercampur darah.

Selain itu, jangkitan boleh menyebabkan kesakitan di bahagian bawah perut atau pelvis.

Dalam kalangan lelaki, UTI kadangkala melibatkan prostat sehingga menimbulkan rasa tekanan di bahagian rektum.

Bagaimanapun, tanda yang lebih membimbangkan adalah apabila pesakit mula mengalami demam tinggi, menggigil, sakit belakang atau rusuk serta loya dan muntah.

Menurut Dr. Zainal Adwin, gejala berkenaan mungkin menunjukkan jangkitan sudah merebak ke buah pinggang atau dikenali sebagai pyelonephritis.

Jika tidak ditangani, keadaan itu berpotensi menyebabkan sepsis, iaitu tindak balas melampau tubuh terhadap jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

Justeru, wanita tidak seharusnya menunggu sehingga mengalami simptom lebih serius sebelum mendapatkan pemeriksaan.

TABIAT HARIAN YANG BERISIKO

Kebanyakan kes UTI berpunca daripada bakteria E. coli yang sememangnya hidup secara semula jadi dalam usus besar manusia.

Namun, bakteria berkenaan boleh memasuki saluran kencing dan menyebabkan jangkitan apabila keadaan tertentu memudahkan ia membiak.

“Antara faktor yang sering tidak disedari adalah tabiat menahan kencing terlalu lama, kurang minum air serta amalan kebersihan diri yang tidak betul.

“Sebagai contoh, amalan mengelap dari belakang ke depan selepas membuang air boleh memindahkan bakteria dari kawasan dubur ke saluran kencing, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan,” katanya.

Selain faktor kebersihan, masalah kesihatan seperti batu karang dan pembesaran prostat juga boleh menjadi penyumbang.

Keadaan itu boleh menghalang aliran air kencing daripada keluar dengan lancar sehingga menyebabkan air kencing bertakung atau urinary stasis.

Apabila air kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya, bakteria mempunyai peluang lebih besar untuk membiak dan mencetuskan jangkitan.

ANTIBIOTIK PERLU DIHABISKAN WALAUPUN SUDAH SEMBUH

Bagi mengesahkan UTI, ujian air kencing biasanya dilakukan sebagai pemeriksaan awal untuk mengesan tanda jangkitan.

Ujian kultur air kencing pula lebih khusus kerana dapat mengenal pasti jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan serta membantu doktor menentukan antibiotik paling sesuai.

Rawatan utama UTI adalah penggunaan antibiotik, manakala tempohnya bergantung pada tahap dan jenis jangkitan yang dialami pesakit.

Bagi kes ringan, rawatan mungkin hanya mengambil masa beberapa hari, namun jangkitan lebih serius memerlukan tempoh rawatan lebih panjang.

Dr. Zainal Adwin mengingatkan pesakit supaya menghabiskan antibiotik seperti yang diarahkan doktor walaupun simptom sudah berkurangan atau hilang.

Langkah itu penting bagi memastikan rawatan diselesaikan dengan betul serta mengurangkan risiko rintangan antibiotik.

Bagi pesakit yang mengalami UTI berulang, pemeriksaan lanjut seperti ultrabunyi atau imbasan CT mungkin diperlukan untuk mengenal pasti punca sebenar, termasuk masalah struktur dan fungsi sistem urinari.

JUS KRANBERI BUKAN PENGGANTI ANTIBIOTIK

Dalam usaha mencegah UTI, beberapa amalan mudah boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

Antaranya termasuk minum air secukupnya, tidak menahan kencing terlalu lama, menjaga kebersihan diri serta membuang air kecil selepas hubungan seksual bagi membantu membilas bakteria keluar dari saluran kencing.

Pemakaian pakaian dalam daripada bahan kapas juga digalakkan kerana membantu mengurangkan kelembapan.

Mengulas mengenai penggunaan jus kranberi sebagai kaedah alternatif, Dr. Zainal Adwin menjelaskan minuman itu lebih dikaitkan dengan usaha pencegahan dan bukannya rawatan utama bagi UTI.

Kandungan tertentu dalam kranberi dipercayai boleh menghalang bakteria daripada melekat pada dinding pundi kencing, namun ia tidak mampu membunuh bakteria yang sudah menyebabkan jangkitan.

“Tiada bukti kukuh bahawa rawatan tradisional mampu merawat jangkitan ini tanpa penggunaan antibiotik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan cuaca sejuk bukan penyebab UTI seperti yang sering dipercayai sesetengah pihak.

Sebaliknya, faktor kebersihan diri dan tabiat harian yang tidak sihat lebih memainkan peranan dalam meningkatkan risiko jangkitan.

Lebih penting, UTI bukan sekadar masalah ketidakselesaan ketika membuang air kecil.

Jangkitan yang tidak dirawat dengan sewajarnya boleh membawa komplikasi lebih serius.

Oleh itu, kenali perubahan pada tubuh, jangan abaikan simptom awal dan dapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami tanda jangkitan.

Jika UTI berlaku berulang kali atau tidak pulih selepas rawatan, rujukan kepada pakar perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini