MELAKA: Siapakah dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang bakal membarisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka kini menjadi percaturan penting buat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Perhatian kini terarah kepada keputusan Ab Rauf sama ada mahu mengekalkan sebahagian besar barisan Exco yang telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini ataupun membawa masuk muka baharu untuk memperkukuhkan pentadbiran negeri.
Jika Ab. Rauf mahu mengekalkan jawatan 10 Exco terdahulu ini bermakna terdapat empat kekosongan yang perlu diisi beliau.
Setakat ini, enam penyandang Exco berjaya memenangi kerusi masing-masing, iaitu Datuk Rais Yasin (Sungai Udang), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas), Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (Merlimau), Fairul Nizam Roslan (Asahan), Datuk Ngwe Hee Sem (Machap Jaya) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau).
Oleh itu, sekiranya keenam-enam wakil rakyat itu masih mahu dikekalkan oleh Ab Rauf, beliau kini perlu mencari empat lagi ADUN bagi melengkapkan barisan Exco termasuklah dengan menjangkakan salah satu atau dua posisinya untuk jawatan itu diisi ADUN dari PN.
Seorang calon BN dari parti MIC, S. Nadarajah yang menang di kerusi DUN Gadek juga tidak wajar diketepikan walaupun beliau adalah muka baharu.
Selain itu, dua wakil Pas yang memenangi kerusi DUN Paya Rumput dan Bukit Katil juga wajar diberikan tempat dalam barisan Exco sebagai sebahagian daripada hasil persefahaman politik BN-PN selepas pilihan raya.
Dua nama yang berpotensi dipertimbangkan ialah ADUN Paya Rumput, Rafie Ahmad dan ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.
Selain dua wakil Pas itu, ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan) turut mempunyai peluang untuk dipertimbangkan mengisi barisan Exco baharu.
Bagaimanapun, satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pengisian portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti. Ia wajar terus diberikan kepada wakil rakyat wanita bagi memastikan agenda pembangunan wanita dan kebajikan keluarga mendapat perhatian khusus.
Dua nama yang berpotensi dipertimbangkan ialah ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi. Kedua-duanya berjaya mempertahankan kerusi masing-masing dalam PRN kali ini dan mempunyai pengalaman sebagai wakil rakyat.
Selain itu, nama ADUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem juga dilihat antara wakil rakyat yang mempunyai kelayakan untuk diberikan tempat dalam barisan Exco baharu.
Beliau mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital sebelum ini.
Mohd. Noor Helmy berjaya mempertahankan DUN Duyong dengan memperoleh 15,067 undi dan majoriti 10,040 undi, sekali gus menunjukkan sokongan kukuh pengundi terhadap kepimpinannya.
Ab Rauf juga perlu memastikan keseimbangan politik dalam kerajaan negeri terus terpelihara, terutama selepas BN dan PN memperoleh 24 kerusi DUN daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Penyertaan wakil Pas dan Wawasan dalam barisan Exco boleh menjadi isyarat bahawa kerjasama kedua-dua gabungan bukan hanya terhad kepada pilihan raya, tetapi turut diterjemahkan dalam pentadbiran. – UTUSAN











