ALOR SETAR: Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), selaku penaung Kelab Perempuan Membaca, meneruskan siri jelajah literasi ke wilayah utara menerusi penganjuran Pertemuan Keempat Kelab Perempuan Membaca bertemakan “Perempuan dan Kerjaya” bertempat di Skyview Revolving Glass Hall, Menara Alor Setar, Kedah.
Berlatarbelakangkan panorama ikonik bandar raya Alor Setar serta hamparan sawah padi yang sedang menghijau dari puncak Menara Alor Setar, penganjuran kali ini membawakan suasana segar yang menggabungkan apresiasi ilmu, ketenangan alam dan semangat pemerkasaan wanita di Negeri Jelapang Padi.
Program yang diuruskan dengan kerjasama Persatuan Booktube Malaysia menerusi inisiatif Kelah Buku ini dianjurkan secara berkala bagi membina komuniti wanita yang aktif membaca, berfikir secara kritis, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui perkongsian ilmu serta pengalaman.
Penganjuran siri keempat kali ini mengangkat tema “Perempuan dan Kerjaya” sebagai platform perkongsian strategik mengenai peranan wanita dalam dunia profesional, cabaran mengimbangi tuntutan kerjaya dan kehidupan, serta kepentingan budaya membaca dalam memperkasa kepimpinan dan kemajuan diri wanita. Langkah membawa jelajah ini ke negeri Kedah mencerminkan komitmen berterusan Kota Buku untuk memperluas capaian gerakan literasi wanita secara lebih inklusif ke seluruh negara.
Inisiatif Kelab Perempuan Membaca yang diilhamkan oleh YB Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, terus mendapat sokongan padu dan keprihatinan berterusan daripada beliau yang hadir menyempurnakan majlis serta menyertai sesi khas pembacaan. Penganjuran siri ini berasaskan keyakinan bahawa wanita yang berilmu dan berdaya saing merupakan teras utama kepada pembangunan ekonomi, keluarga dan masyarakat yang sejahtera.
Bagi menyerlahkan identiti pertemuan edisi keempat ini, para peserta dan tetamu yang hadir mengenakan pakaian bertemakan ungu cair dan biru gelap serta membawa bahan bacaan pilihan masing-masing yang berkaitan dengan topik wanita, kepimpinan, pembangunan diri dan kerjaya untuk dikongsi bersama ahli kelab.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah atas sokongan padu dalam menjayakan penganjuran siri kali ini, di samping penyertaan bersemangat daripada para pelajar institut pengajian tinggi dan sekolah tempatan, ahli Kelab Perempuan Membaca serta pengunjung yang hadir.
Bagi menyemarakkan lagi budaya membaca sepanjang program berlangsung, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah turut menyediakan buku bertemakan wanita dan kerjaya untuk perkhidmatan pinjaman buku khusus buat para peserta serta pengunjung yang tidak berkesempatan membawa bahan bacaan sendiri.
Siri keempat ini turut meneruskan slot ikonik dan berkala seperti sesi khas “Fadhlina Membaca” serta aktiviti jaringan sosial. Acara dimeriahkan lagi dengan Sesi Perkongsian Ahli Kelab secara interaktif yang memberi ruang kepada para peserta bertukar pandangan mengenai naskhah bacaan dan aspirasi kerjaya masing-masing.
Penganjuran Kelab Perempuan Membaca mencerminkan komitmen berterusan Kota Buku dalam memperkukuh budaya membaca sebagai pemangkin pembangunan modal insan dan pembentukan masyarakat berilmu, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperluas budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Orang ramai yang berminat menyertai siri-siri jelajah akan datang boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui www.perempuanbaca.my atau mengikuti media sosial rasmi @perempuanbaca.my di Instagram dan Threads.











