SEOUL: Generasi Z di Korea Selatan mencatatkan kadar penggunaan ubat penurunan berat badan GLP-1 tertinggi berbanding peringkat umur lain, sekali gus menunjukkan kecenderungan golongan muda terhadap kaedah kurus menggunakan ubat-ubatan.
Menurut Laporan Kesejahteraan Korea 2026, sebanyak 16.5 peratus responden Generasi Z yang lahir pada 1995 dan selepasnya pernah mendapatkan preskripsi atau menggunakan ubat berkenaan sepanjang tahun lalu.
Kadar itu mengatasi golongan milenial sebanyak 14.2 peratus, diikuti Generasi X (7.7 peratus) dan generasi Boomer iaitu 2.9 peratus.
Laporan Institut Penyelidikan Kumpulan Kewangan KB itu berkata, Penggunaan ubat berkenaan lebih tinggi dalam kalangan lelaki iaitu 11.6 peratus berbanding wanita (sembilan peratus).
Bagaimanapun, tahap kesedaran mengenai ubat GLP-1 lebih tinggi dalam kalangan wanita sebanyak 83.1 peratus berbanding lelaki (73 peratus).
Secara keseluruhan, satu daripada 10 orang dewasa atau 10.3 peratus responden mengakui pernah mendapatkan preskripsi atau menggunakan ubat GLP-1, berdasarkan tinjauan terhadap 2,000 individu berusia antara 25 hingga 69 tahun.
Tinjauan itu turut mendapati 33.9 peratus responden berminat menggunakan ubat berkenaan pada masa hadapan, dengan kadar itu meningkat kepada 39.7 peratus dalam kalangan Generasi Z.
Dalam kalangan mereka yang pernah menggunakan ubat berkenaan, sebanyak 65.5 peratus menyatakan hasrat untuk meneruskan penggunaannya.- AGENSI











