PETALING JAYA: ASEAN dan China perlu memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat transformasi digital dan menggalakkan inovasi di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu perlu merangkumi pengukuhan tadbir urus dan mekanisme kawal selia AI bagi menangani risiko baharu yang timbul seiring perkembangan teknologi digital.
Ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 di Manila, Filipina, beliau turut menekankan kepentingan pemindahan teknologi dan kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membangunkan industri tempatan.
Katanya, kerjasama itu penting bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk memenuhi keperluan industri dalam sektor semikonduktor, robotik, kenderaan elektrik dan pembuatan termaju.
“Kerjasama ini juga perlu diperluas dalam bidang ekonomi digital, AI, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta peralihan tenaga bersih,” katanya.
Anwar berkata, beliau menyambut baik kemajuan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama China dalam melaksanakan peruntukan perjanjian itu berkaitan PMKS, piawaian, perlindungan pengguna dan persaingan.
Anwar berkata, Malaysia kekal komited memperkukuh hubungan ASEAN-China yang tahun ini genap 35 tahun hubungan dialog dan lima tahun Perkongsian Strategik Komprehensif.
Katanya, Malaysia turut menghargai sokongan China terhadap kesepaduan ASEAN, mekanisme yang diterajui blok serantau itu serta Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Dalam soal keselamatan serantau, Anwar berkata, rundingan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan kini berada pada peringkat kritikal, dengan keselamatan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan antara perkara yang diberi perhatian.
Katanya, Malaysia kekal komited untuk memastikan rundingan itu terus bergerak maju dan memerlukan komitmen semua pihak bagi menghasilkan kod tata laku yang berkesan.
Mengenai Gaza, Anwar berkata, Malaysia menghargai sumbangan China berjumlah AS$100 juta bagi bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula wilayah itu.
“Saya turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza, serta keperluan untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya. – UTUSAN










