KEPUTUSAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lima ahli Parlimen parti berkenaan menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) pada 29 Oktober lalu untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan percanggahan dalam pendirian parti itu.
Sebelum ini, enam ahli Bersatu yang mengambil langkah sama antara Oktober 2023 hingga awal 2024, dilabel pengkhianat sehingga tergugur keahlian secara automatik setelah mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tetapi kini tindakan itu turut dilakukan Presiden sendiri.
Bagi Ahli Parlimen Labuan, DATUK DR. SUHAILI ABDUL RAHMAN berkata sokongan kepada kerajaan bukan bermakna mengkhianati parti sebaliknya kerjasama itu penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, walaupun dirinya pernah menerima kecaman kerana berbuat demikian.
Namun beliau tetap dengan pendirian yang peruntukan kepada wakil rakyat, membolehkan pelbagai masalah penduduk diselesaikan tanpa perlu mengorbankan pendirian politik.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau mengulas perubahan sikap Bersatu, rasional di sebalik sokongan kepada Anwar serta kesan CSA terhadap kedudukan pembangkang di Parlimen.
Dahulu Datuk dilabel sebagai pengkhianat kerana menyokong kerajaan tetapi kini Muhyiddin bersama lima lagi ahli Parlimen Bersatu turut menandatangani CSA bagi menyokong Anwar. Bagaimana Datuk melihat perubahan pendirian ini?
Tentang persepsi mereka terhadap kami dahulu, saya anggap itu satu tindakan yang lebih bersifat emosional. Tetapi sekarang, saya melihat mereka sudah membuat pertimbangan yang lebih rasional. Sebagai orang yang lebih awal (menyatakan sokongan kepada Anwar), saya bersama lima rakan lain sudah masuk tahun keempat menyokong kerajaan.
Dan memang benar, Anwar menunaikan segala janji. Apa-apa bentuk peruntukan kepada ahli Parlimen yang dijanjikan untuk menyokong kerajaan, beliau berikan. Dengan itu, saya dapat membantu rakyat di kawasan saya. Banyak program berkaitan kemiskinan dapat dilaksanakan.
Bantuan dalam bidang kesihatan dan pendidikan juga dapat disalurkan melalui peruntukan ahli Parlimen yang diterima. Ia banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan, walaupun tempoh kerajaan ini hanya berbaki kira-kira satu tahun.
Jadi, bagi saya, Muhyiddin dan lima lagi rakan yang bersama-sama membuat keputusan itu (tanda tangan CSA) mengambil langkah yang rasional. Tidak salah untuk kita mengiktiraf kepimpinan Anwar, lebih-lebih lagi apabila kepimpinan beliau diakui di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan.
Cuma dalam politik, biasalah. Musuh tidak akan mudah mengiktiraf apa sahaja yang kita lakukan. Contoh, kalau saya seorang pemimpin dan awak tidak menyokong saya kerana terlalu fanatik kepada satu parti, walaupun saya bina ‘jambatan emas’ sampai ke rumah awak, awak tetap tidak akan menyokong saya.
Sebabnya, pemikiran awak sudah tertutup dan keputusan dibuat berdasarkan sentimen. Jadi, bagi saya, keputusan Muhyiddin sebagai bekas perdana menteri untuk menyokong kepimpinan Anwar secara peribadi, bersama rakan-rakan yang lain, adalah keputusan yang wajar dan rasional.
Kita perlu melihat ia daripada sudut kebajikan rakyat. Contoh di kawasan saya, jika berlaku kebakaran menyebabkan rumah musnah, dalam tempoh dua hari sahaja kontraktor sudah boleh memulakan kerja pembinaan semula. Mengapa? Kerana kita sudah mengenal pasti syarikat yang boleh melaksanakan kerja membina semula rumah berkenaan dengan kos kira-kira RM110,000. Kontrak boleh dimasukkan ke dalam sistem untuk mendapatkan kelulusan sebelum kerja dimulakan.
Pendekatan sama turut dilaksanakan ketika banjir. Kita tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menyediakan bantuan makanan dan keperluan asas kerana persiapan sudah dibuat lebih awal.
Kita juga membantu pesakit kronik yang terpaksa mendapatkan rawatan di luar kawasan tempat tinggal mereka. Mereka bukan sahaja perlu menanggung kos rawatan, malah perbelanjaan perjalanan, makanan dan penginapan.
Bayangkan pesakit yang perlu berulang-alik mendapatkan rawatan bersama suami, isteri atau anak. Kos keseluruhan boleh mencecah RM500 hingga RM1,000, malah lebih tinggi bergantung pada lokasi dan keperluan perjalanan.
Bagi penduduk Labuan, misalnya, kos pengangkutan ke Sabah untuk mendapatkan rawatan boleh mencecah RM2,000. Hal ini kerana kemudahan hospital dan rawatan tertentu yang diperlukan tidak tersedia di Labuan, menyebabkan pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Sabah.
Komen Datuk apabila ada pihak melihat tindakan enam ahli Parlimen itu menunjukkan Bersatu begitu terdesak khususnya berkaitan isu pembekuan aset, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
Kita perlu berfikir secara baik sangka. Kalau dikatakan Bersatu sedang kucar-kacir, saya rasa itu tidak tepat.
Mereka yang masih bersama Bersatu tetapi pada masa sama menyokong Kerajaan Madani melalui CSA.
Kita lihat Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju merupakan antara pemimpin yang mempunyai kedudukan dan pengaruh yang kukuh. Mereka mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing.
Jadi, kalau ditanya mengenai usaha mencairkan aset atau perkara-perkara lain berkaitan parti, itu di luar pengetahuan saya. Saya hanya melihat keputusan mereka menyokong Kerajaan Madani sebagai satu keputusan yang dibuat selepas menyedari sepanjang tiga tahun lalu, rakyat tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Mereka juga mungkin sudah melihat hakikat ahli Parlimen pembangkang perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing terbela. Tidak semestinya mereka perlu menyertai Pakatan Harapan (PH) atau meninggalkan Bersatu.
CSA sudah ada sejak zaman Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Melalui CSA juga, ahli Parlimen masih boleh mendapatkan peruntukan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing. Pada pandangan saya, perkara inilah yang sepatutnya diutamakan oleh pemimpin Bersatu sejak dahulu.
Sebab itu, ketika kami membuat keputusan menyokong kerajaan, pendirian kami sangat jelas. Kami masih ahli Bersatu dan kekal berstatus pembangkang tetapi kami menyokong Kerajaan Madani atas dua sebab.
Pertama, kami mahu ahli Parlimen dapat membantu rakyat melalui peruntukan yang sepatutnya diterima. Kedua, kami yakin dengan kepimpinan kerajaan ketika itu.
Bagi saya, tempoh tiga tahun lebih sudah cukup untuk membuat penilaian yang adil terhadap kepimpinan Anwar. Kita perlu melihat secara objektif sama ada beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan baik atau sebaliknya. Jadi, keputusan untuk memberikan sokongan itu perlu dilihat secara adil berdasarkan prestasi dan kepentingan rakyat.
Adakah Datuk melihat langkah menandatangani CSA memberi kelebihan kepada Anwar supaya dapat bertahan sekurang-kurangnya sehingga akhir penggal dan boleh mengganggu proses semak dan imbang dalam kalangan pembangkang?
Kita perlu ingat pada 2004, jika saya tidak silap, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan lebih dua pertiga di Parlimen. Ketika itu, saya juga merupakan ahli Parlimen. Hampir keseluruhan kerusi dimenangi BN, manakala hanya beberapa kerusi dikuasai pembangkang, khususnya DAP dan Pas.
Namun, keadaan itu tidak menjejaskan fungsi semak dan imbang di Parlimen.
Sekarang, dengan tujuh ahli Parlimen yang beralih sokongan, kita dapat melihat mereka mula menyedari kepentingan menyokong kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing terbela.
Pada masa sama, pembangkang masih mempunyai wakil yang mencukupi di Parlimen untuk memainkan peranan semak dan imbang. Pas juga masih mempunyai 43 orang ahli Parlimen. Jadi, tidak timbul isu fungsi pembangkang di Parlimen sudah terjejas atau tidak lagi berperanan.
Adakah Datuk akan kekal sebagai ahli Parlimen Bebas atau bertanding atas tiket PH dalam PRU akan datang?
Buat masa ini kekal bebas tetapi tidak tahu pada masa akan datang. Keputusan mengenai tiket yang akan saya gunakan pada pilihan raya akan datang bergantung pada perbincangan antara PH dan pihak berkaitan.
Perlu diingat, saya memberikan sokongan kepada kerajaan atas sokongan padu yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Beliau sendiri membawa surat sokongan saya kepada Perdana Menteri.
Kedua, Perdana Menteri juga memberikan sokongan kepada saya sejak 2004 sehingga kini sebagai Ahli Parlimen Labuan.
Justeru, bagi menentukan tiket yang akan digunakan untuk mempertahankan kerusi pada pilihan raya akan datang, saya menyerahkan keputusan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah. Setakat ini, belum ada sebarang perbincangan khusus mengenai perkara tersebut.
Adakah parti Bebas diterima di Labuan?
Di Labuan, rakyat lebih mengutamakan individu berbanding parti yang diwakilinya. Saya sendiri dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat walaupun tanpa sokongan parti.
Bagi saya, rakyat lebih melihat usaha dan khidmat yang diberikan kepada mereka.
Namun, apabila tiba musim pilihan raya, faktor parti tetap menjadi antara pertimbangan pengundi kerana mereka mahu mengetahui latar belakang dan parti yang diwakili seseorang calon.
Bagaimanapun, kita tidak boleh mengetepikan hakikat beberapa calon Bebas dari Sabah juga pernah memenangi kerusi dalam pilihan raya. Ini menunjukkan latar belakang parti bukan satu-satunya faktor yang menentukan pilihan rakyat.
Buat masa ini, saya belum membuat sebarang keputusan mengenai tiket yang akan digunakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Saya boleh bertanding sebagai calon Bebas atau menggunakan tiket parti, bergantung pada perkembangan semasa.
Sampai masa, saya akan melihat ruang dan peluang yang ada. Memandangkan Labuan berada dalam wilayah Persekutuan, ada kemungkinan saya akan bertanding atas tiket parti yang mencapai persetujuan untuk mewakili kawasan tersebut.
Status bebas cukai Labuan bukan lagi jaminan
Pada pandangan Datuk, sejauh manakah jurang pembangunan infrastruktur antara Labuan dengan wilayah lain seperti Putrajaya, dan apakah langkah yang perlu diambil untuk memastikan Labuan tidak terus ketinggalan?
Mungkin antara punca Labuan masih belum membangun dengan pesat ialah hala tuju pembangunan wilayah itu sendiri masih belum jelas dan sentiasa berubah mengikut perancangan.
Berbeza dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai fungsi khusus, iaitu sebagai ibu negara dan pusat pentadbiran Persekutuan.
Persoalannya, apakah identiti sebenar Labuan? Adakah mahu diangkat sebagai pusat kewangan luar pesisir atau Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, hab industri minyak dan gas atau destinasi pelancongan? Ketiga-tiga sektor ini seolah-olah bergerak secara berasingan tanpa hala tuju yang benar-benar jelas.
Kita tidak boleh meletakkan terlalu banyak sasaran tanpa menentukan keutamaan. Jika mahu membangunkan sektor perindustrian, Labuan perlu mempunyai ekosistem sokongan termasuk perkhidmatan perbankan dan kewangan luar pesisir. Pada masa sama, di mana potensi pelancongan?
Labuan sebenarnya mempunyai kelebihan dari segi produk pelancongan semula jadi. Namun, jika mahu bersaing dengan destinasi seperti Singapura yang banyak membangunkan tarikan buatan manusia, lupakanlah.
Ketika ini, kemudahan seperti taman tema air pun masih belum tersedia. Peruntukan sebanyak RM5 juta atau RM10 juta untuk projek kecil secara berasingan juga tidak memadai untuk menghasilkan produk pelancongan yang benar-benar mampu menarik perhatian.
Jika mahu membangunkan pelancongan secara serius, kerajaan perlu menyediakan pelaburan yang lebih besar dan menyeluruh. Pembangunan secara berperingkat tanpa perancangan bersepadu hanya menyebabkan potensi Labuan sukar diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
Labuan sepatutnya diberikan tumpuan sebagai pusat kawalan dan hab industri hiliran. Pada masa sama, statusnya sebagai pulau bebas cukai yang dinikmati sejak 1958 perlu diperjelaskan.
Apa yang boleh dilakukan supaya Labuan mempunyai daya tarikan?
Pada masa ini, antara cabaran yang dihadapi Labuan ialah kemungkinan penyusutan hasil negara serta kehilangan sebahagian keistimewaan sebagai pulau bebas cukai secara berperingkat. Sebelum ini, pelbagai barangan termasuk rokok boleh dibeli tanpa cukai tetapi kemudahan tersebut kini tidak lagi dinikmati seperti dahulu.
Perubahan dasar ini turut memberi kesan kepada daya tarikan Labuan sebagai destinasi kunjungan, sekali gus berpotensi menjejaskan kedatangan pengunjung dan aktiviti ekonomi setempat.
Selain itu, terdapat had tertentu terhadap pembelian barangan bebas cukai oleh pengunjung. Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bebas cukai dengan pembelian sehingga RM10,000 dengan syarat pengunjung perlu berada di Labuan sekurang-kurangnya 48 jam. Bagaimanapun, butiran pelaksanaan dasar tersebut, termasuk jenis barangan yang dibenarkan dan syarat pembeliannya, masih belum jelas.
Saya sendiri belum berkesempatan mendapatkan penjelasan lanjut kerana sibuk dengan urusan di kawasan. Namun, perkara ini perlu diberi perhatian kerana status bebas cukai merupakan antara kelebihan utama Labuan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk merancakkan ekonomi dan menarik lebih ramai pengunjung. –UTUSAN











