PETALING JAYA: Penetapan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada kadar RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta disifatkan tidak munasabah dan berpotensi mencetuskan polemik.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, perbezaan besar antara kedua-dua kadar itu sukar diterima, lebih-lebih lagi apabila keputusan tersebut dibuat tidak lama selepas pertukaran kepimpinan bagi portfolio berkenaan.
“Jumlah jutaan ringgit sebelum pengurangan ini pasti ada asas dan sebabnya yang konkrit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan media tempatan, keputusan menetapkan premium nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh pada majlis makan malam ulang tahun ke-103 pertubuhan itu, 14 November lalu.
Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 September lalu.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, anggaran premium terdahulu mempunyai asas meskipun KLSCAH sudah diwartakan sebagai tapak warisan pada 2007.
Katanya, cadangan mengurangkan premium bagi beberapa tapak warisan lain di Kuala Lumpur dilihat sebagai usaha meredakan reaksi susulan keputusan membabitkan KLSCAH.
Beliau berkata, pengurangan itu merupakan langkah yang kurang sensitif kerana pertikaian berhubung keputusan tersebut boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu, Kok Seong mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu pada majlis pengumuman berkenaan.
Katanya, bahasa Melayu wajar diberi keutamaan kerana pengumuman itu membabitkan keputusan rasmi kerajaan.
“Majlis itu sepatutnya wajib dilaksanakan dengan menggunakan bahasa rasmi, tetapi tidak mengutamakan bahasa Melayu,” katanya.
Beliau berkata, isu itu masih berulang walaupun sudah beberapa kali ditegur dan perlu diberi perhatian oleh agensi kerajaan. – UTUSAN











