Alangkah baiknya jika abah dapat melihat semua pencapaian saya - Izat Ibrahim - Utusan Malaysia

Alangkah baiknya jika abah dapat melihat semua pencapaian saya – Izat Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sudah berjaya mencapai kehidupan yang diimpikan, vokalis kumpulan M-Pop Alpha, Izat Ibrahim mengakui masih terkilan kerana arwah bapanya tidak berpeluang menyaksikan sendiri pencapaian tersebut.

Izat, 36, berkata, dia berharap arwah bapanya bangga dengan kehidupan yang sedang dibina meskipun terpaksa menjalani kehidupan jauh daripada keluarga di Singapura.

Katanya, hanya tinggal sebulan sebelum ulang tahun pemergian bapanya, dia sudah mula merasai kesedihan apabila mengenangkan pemergian sosok orang paling dicintainya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebulan lagi sebelum ulang tahun pemergian abah, dan saya mula rasa kesedihan yang semakin dekat. Pelik apabila kehidupan sekarang sudah menjadi seperti apa yang pernah saya impikan dan doakan, tetapi ada hari-hari tertentu yang tetap membuatkan saya rasa sunyi.

“Kadang-kadang, rasa penat itu bukan hanya disebabkan kerja, tetapi kerana rasa sunyi, rindukan rumah, rasa bersalah dan terlalu merindui seseorang yang sepatutnya ada di sini untuk melihat segala yang saya usahakan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Kata peserta Big Stage Alpha 2026 itu, dia turut mengakui ada kalanya berasa bersalah kerana tinggal berjauhan dan meneruskan kehidupan sendiri tanpa kehadiran arwah bapanya bersama.

“Ada kalanya saya rasa bersalah kerana tinggal berjauhan dan meneruskan kehidupan seperti biasa tetapi saya sedang belajar bahawa saya boleh berasa bersyukur dan sedih pada masa yang sama. Saya tidak perlu memilih salah satu daripadanya.

“Saya berharap abah bangga dengan kehidupan yang sedang saya usahakan bersungguh-sungguh ini. Alangkah baiknya jika abah dapat melihat semuanya,” katanya.

Untuk rekod, Izat Ibrahim merupakan penyanyi asal Singapura yang menempa nama di Malaysia selepas menyertai kumpulan M-Pop ALPHA menerusi program realiti Big Stage Alpha pada tahun 2025.

Sebagai vokalis utama ALPHA di bawah Rocketfuel Entertainment, Izat popular dengan lagu seperti Mona Lisa, P. Ramlee & Saloma, dan Mahkota Cinta, selain turut menceburi bidang lakonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini