KUALA NERUS: Selepas lebih setahun terputus akibat hakisan pantai, laluan T145, Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit berhampiran Kampung Tanjung di sini, dibuka semula kepada pengguna jalan raya bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hanafiah Mat berkata, kerja-kerja pembaikan laluan sepanjang 280 meter itu disiapkan termasuk struktur perlindungan pantai bagi mengurangkan impak pukulan ombak.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan mengambil masa berikutan keperluan menjalankan kajian ombak bagi mengenal pasti pergerakan serta keadaannya di kawasan pantai berkenaan sebelum kaedah pembinaan yang bersesuaian ditentukan.
“Hasil kajian kemudiannya dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menentukan kaedah perlindungan pantai yang lebih sesuai bagi memastikan laluan itu selamat dan mampu bertahan daripada hakisan.
“Selain membaiki jalan yang rosak, projek itu turut melibatkan pembinaan struktur perlindungan pantai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kos asal kerja-kerja pembaikan jalan itu kekal sebanyak RM4.95 juta, manakala kos membaiki bahagian benteng dan jalan yang runtuh semula ketika pelaksanaan ditanggung oleh kontraktor.
Katanya, kerja-kerja penambakan batu pula merupakan kos tambahan yang tidak termasuk dalam skop asal projek, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan cadangan perunding.
Sebelum ini, laluan berkenaan mengalami kerosakan teruk pada Januari 2025 selepas dibadai ombak besar ketika musim tengkuuh sehingga menyebabkan sebahagian jalan terputus.
Kerja-kerja pembaikan yang bermula pada April 2025 itu bagaimanapun berdepan kerosakan berulang apabila sebahagian benteng dan jalan sepanjang kira-kira 100 meter runtuh semula pada September tahun sama ketika kemajuan projek hampir mencapai 99 peratus. – UTUSAN










