MANILA: Malaysia berharap cadangan dikemukakan, iaitu pendekatan Diplomasi Sains dan penubuhan Dana Jerebu Mampan dalam menangani isu pencemaran jerebu rentas sempadan dapat dipertimbangkan secara serius oleh negara anggota ASEAN pada sidang kemuncak kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia susulan inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik selain meningkatkan proses pembuatan keputusan berasaskan bukti.
Ia juga bagi memastikan sokongan kewangan yang lebih mampan bagi pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).
Cadangan itu, katanya, sudah dikemukakan Malaysia ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (MSC) di Bali, Indonesia pada Julai lalu.
Beliau berkata, Malaysia berharap keutamaan itu dapat dibawa pada Persidangan Negara-Negara Pihak (COP) kepada AATHP yang akan berlangsung pada Disember ini, selain meneruskannya menerusi kepengerusian Malaysia dalam MSC, pada tahun depan.
Perdana Menteri turut menegaskan melindungi biodiversiti ASEAN bukan sekadar satu keperluan alam sekitar, malah turut melibatkan soal kedaulatan serantau.
“Jadi, kita bertanggungjawab bagi memperkukuh tadbir urus serantau, memastikan sumber biodiversiti digunakan secara mampan dan adil, serta melindunginya daripada dieksploitasi atau disalahgunakan oleh pihak luar.”
“Melindungi biodiversiti ASEAN bukan sekadar soal menjaga alam sekitar, tetapi juga berkait rapat dengan kedaulatan rantau kita.” katanya ketika sesi pleno pada Sidang Kemuncak Asean Ke-49 di sini, hari ini.
Semalam, Menteri-menteri Luar ASEAN mahu operasi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan disegerakan susulan kebimbangan terhadap pencemaran udara serius yang kembali menjejaskan beberapa negara di Asia Tenggara.
Perkara itu dibangkitkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan tumpuan kepada keperluan memperkukuh tindakan bersama dalam menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca jerebu.










