BEIJING: Pesawat komersial elektrik yang dibangunkan sendiri oleh China berjaya melengkapkan penerbangan pertamanya menggunakan sistem penerbangan pintar di Wilayah Shandong, timur China, kelmarin, lapor saluran berita Global Times.
Agensi Berita Xinhua yang memetik kenyataan Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC) melaporkan, pesawat CE-25A itu membawa dua juruterbang dan seorang jurutera ujian penerbangan sepanjang sesi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pesawat berkenaan beroperasi secara normal dengan semua penunjuk teknikal memenuhi jangkaan yang ditetapkan.
Pencapaian terbaharu itu menyusuli kejayaan penerbangan pintar tanpa pemandu pertamanya pada 2 Februari lalu, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam fasa pembangunan pesawat tersebut.
CE-25A merupakan pesawat komersial elektrik pertama keluaran COMAC yang direka khusus untuk laluan penerbangan antara bandar.
Pesawat yang dibangunkan secara bersama oleh COMAC, Akademi Teknologi Kenderaan Pelancar China (CATL) dan Universiti Jiao Tong Shanghai itu telah pun melepasi 19 ujian penerbangan autonomi tanpa pemandu sebelum ini.
Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dilaporkan menerima permohonan pensijilan jenis bagi membolehkan pesawat tersebut beroperasi secara komersial kelak. – AGENSI











