TVET mesti menjamin peluang pekerjaan setimpal

TVET mesti menjamin peluang pekerjaan setimpal

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya apabila graduan mendapat pekerjaan setimpal dengan kemahiran mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH makna pelaburan besar dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) jika graduannya masih sukar memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran yang dimiliki?

Bagi keluarga, kejayaan TVET tidak diukur berdasarkan jumlah sijil yang diterima tetapi melalui peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan stabil dan masa hadapan yang lebih terjamin.

Bagi industri pula, nilai TVET terletak pada kemampuan pekerja melaksanakan tugas dengan cekap, selamat dan produktif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika kerajaan giat merancakkan pembangunan ekonomi melalui pelbagai inisiatif strategik, khususnya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), perhatian juga perlu diberikan kepada pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan tidak seharusnya diukur hanya melalui jumlah projek yang diumumkan atau nilai modal yang dibawa masuk. Kejayaan sebenar ialah apabila pelaburan tersebut mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan mampudiisi oleh rakyat tempatan yang mempunyai kemahiran yang relevan.

Dalam Prabelanjawan 2027, kerajaan menegaskan komitmen untuk memperkukuh TVET yang diterajui industri, memperluaskan program perantisan, latihan semula tenaga kerja serta penguasaan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI).

JURANG LATIHAN, KEPERLUAN INDUSTRI

Hala tuju ini amat penting memandangkan perubahan teknologi yang berlaku begitu pantas. Namun, hasrat yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak diterjemahkan kepada perancangan, pembiayaan dan pelaksanaan yang berkesan.

Antara cabaran utama TVET negara ialah ketidakpadanan antara latihan dan pekerjaan. Masih terdapat graduan yang bekerja dalam bidang yang tidak menggunakan kemahiran yang dipelajari, sedangkan industri terus melaporkan kekurangan tenaga kerja mahir.

Situasi ini menunjukkan wujud jurang antara keperluan industri dan sistem latihan yang disediakan. Masalah tersebut bukan semata-mata berpunca daripada graduan atau institusi latihan tetapi juga kelemahan dalam menyelaraskan penawaran bakat dengan permintaan sebenar pasaran kerja.

Selain itu, faktor pekerjaan itu sendiri perlu diberi perhatian. Kekurangan pekerja mahir kadangkala berpunca daripada gaji yang kurang kompetitif, lokasi pekerjaan yang jauh, peluang kemajuan kerjaya yang terhad atau persekitaran kerja yang kurang menarik. Oleh itu, peningkatan bilangan graduan TVET sahaja tidak akan menyelesaikan masalah tenaga kerja sekiranya faktor-faktor tersebut tidak ditangani.

Belanjawan TVET perlu berasaskan keperluan pekerjaan yang jelas. Sebelum program latihan diperluaskan, industri perlu mengenal pasti kompetensi yang diperlukan, jawatan yang sukar diisi dan laluan kerjaya yang ditawarkan kepada pekerja.

Berdasarkan maklumat tersebut, institusi TVET dapat membangunkan kurikulum yang lebih relevan, manakala kerajaan dapat memastikan dana awam digunakan secara lebih berkesan.

Dalam konteks NCER, pendekatan ini amat penting kerana wilayah tersebut sedang berkembang sebagai hab pelaburan strategik negara, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, automasi, logistik, elektronik dan ekonomi digital.

Semua sektor ini memerlukan tenaga kerja dengan kemahiran khusus dan sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan teknologi. Oleh itu, pembangunan bakat perlu dirancang secara menyeluruh merentasi negeri-negeri dalam NCER, bukannya secara berasingan mengikut lokasi atau syarikat tertentu.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) boleh memainkan peranan yang lebih aktif dengan menyelaras kerjasama antara institusi TVET, industri, kerajaan negeri dan agensi pekerjaan. Pendekatan ini membolehkan satu peta permintaan bakat wilayah diwujudkan dan dikemas kini secara berkala. Data yang tepat akan membantu institusi merancang program latihan yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja semasa dan masa hadapan.

Penglibatan industri dalam pembangunan kurikulum juga perlu diperkokoh. Wakil industri tidak seharusnya sekadar hadir dalam jawatankuasa kurikulum tetapi turut membantu menentukan kompetensi yang diperlukan, menyediakan projek sebenar dan menilai pencapaian pelajar. Pada masa sama, institusi TVET perlu terus memastikan graduan mempunyai asas ilmu yang kukuh serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Program pembelajaran berasaskan kerja dan perantisan pula perlu disokong dengan pembimbing yang berkualiti, perlindungan keselamatan dan elaun yang munasabah.

Sokongan ini penting agar pelajar daripada semua lapisan masyarakat dapat memperoleh pengalaman industri yang bermakna. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam latihan kemahiran supaya lebih banyak syarikat dapat berperanan sebagai rakan strategik TVET.

Pembiayaan TVET juga tidak boleh tertumpu kepada pembelian peralatan semata-mata. Peruntukan perlu meliputi penyelenggaraan kemudahan, latihan tenaga pengajar dan peningkatan kemahiran secara berterusan.

Begitu juga dengan keutamaan terhadap kemahiran digital dan AI yang perlu diterjemahkan kepada keperluan pekerjaan sebenar, termasuk keupayaan menganalisis data, menyelesaikan masalah dan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.

Kejayaan TVET tidak boleh diukur melalui jumlah graduan atau bilangan kursus yang ditawarkan. Penilaian perlu dibuat berdasarkan kesepadanan pekerjaan, peningkatan pendapatan, kemajuan kerjaya dan kepuasan majikan terhadap kualiti tenaga kerja yang dilahirkan.

Masa hadapan TVET bergantung pada kemampuan negara menghubungkan pelaburan dengan pembangunan bakat.

Dalam pembangunan NCER, kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kilang yang dibina atau nilai pelaburan yang diumumkan semata-mata. Kejayaan sebenar ialah apabila setiap pelaburan turut menghasilkan tenaga kerja tempatan yang mampu mengisi peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Belanjawan TVET 2027 mesti memastikan pembangunan modal insan bergerak seiring dengan pertumbuhan industri.

Jangan bina kilang tanpa membina bakat. –UTUSAN

MOHAMAD Ghozali Hassan ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini