Inflasi terkawal, ekonomi kukuh dorong OPR kekal - Utusan Malaysia

Inflasi terkawal, ekonomi kukuh dorong OPR kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dibuat berdasarkan keadaan inflasi yang terkawal serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keadaan itu membolehkan kadar OPR dikekalkan pada tahap sedia ada, sekali gus memberi ruang kepada sektor perniagaan untuk terus berkembang dengan keadaan pembiayaan yang stabil.

“Bank Negara, dengan proses di bawah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) melihat keadaan inflasi dalam negara terkawal dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga masih kuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, ia (BNM) mengambil pendekatan untuk terus mengekalkan OPR. Ini memberi ruang untuk perniagaan terus berkembang,” katanya ketika ditemui selepas acara Larian Kewangan 2026, di sini, hari ini.

MPC pada mesyuarat keenam dan terakhirnya tahun ini telah mengambil keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.

Penganalisis pasaran mengunjurkan OPR dijangka dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027 didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan unjuran inflasi tinggi daripada bank pusat.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, keadaan ekonomi Malaysia ketika ini berbeza daripada sesetengah negara yang berdepan tekanan inflasi tinggi, ekonomi terlalu panas serta gangguan rantaian bekalan.

Katanya, tekanan seperti itu boleh menyebabkan bank pusat menggunakan kadar faedah sebagai instrumen untuk mengawal keadaan ekonomi.

“Kita tidak ada masalah seperti apa yang kita nampak di negara-negara lain, yang mana tekanan inflasinya tinggi, ada isu yang datang daripada ekonomi terlalu panas, isu rantaian bekalan yang menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kadar faedah untuk mengawal,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh kerajaan dalam menguruskan ekonomi turut membantu Malaysia mengekalkan keadaan ekonomi yang lebih baik.

“Di Malaysia ini, saya rasa kerana pendekatan yang diambil kerajaan itu menyeluruh, kita dapat keadaan yang lebih baik di sini,” katanya.

Amir Hamzah berkata, keputusan berkaitan OPR kekal di bawah bidang kuasa BNM menerusi proses MPC berdasarkan penilaian terhadap keadaan ekonomi dan inflasi semasa. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini