Orang awam berada lokasi jenayah punca polis tidak lepaskan tembakan

Orang awam berada lokasi jenayah punca polis tidak lepaskan tembakan

MUSA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran orang ramai yang terlalu hampir dengan lokasi kejadian berkemungkinan menyebabkan anggota polis teragak-agak untuk melepaskan tembakan kerana bimbang peluru tersasar dan terkena orang awam.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, situasi itu mungkin menjadi antara faktor yang perlu dipertimbangkan anggota polis ketika berhadapan dengan penyerang bersenjata.

Ia khususnya bagi memastikan keselamatan orang awam di sekeliling tidak terancam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kehadiran orang ramai yang berada terlalu hampir dengan anggota polis ketika kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, Gombak, Rabu lalu mungkin menyukarkan tindakan pihak berkuasa untuk mempertahankan diri.

“Jadi, kemungkinan anggota itu merasakan keadaan tidak begitu sesuai untuk melepaskan tembakan kerana takut terkena orang lain.

“Sebab itu, saya merasakan kejadian ini juga menjadi satu pengajaran kepada orang ramai,” katanya menerusi satu rakaman yang dimuat naik di media sosial.

Sehubungan itu, Musa menasihatkan orang ramai supaya menjauhi lokasi kejadian dan tidak berada terlalu hampir dengan anggota polis yang sedang berhadapan dengan penjenayah bersenjata.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan orang awam terdedah kepada risiko terkena tembakan ketika pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mempertahankan diri.

Menurutnya, orang ramai perlu memahami bahawa apabila anggota polis terpaksa mengeluarkan senjata api bagi menghadapi ancaman.

Katanya, masyarakat hendaklah segera menjauhkan diri dari kawasan berkenaan dan tidak menghampiri anggota yang sedang bertugas.

“Kalau berlaku keadaan seperti itu, jangan dekat dengan tempat kejadian atau jangan rapat sangat dengan pegawai polis yang sedang bertugas.

“Apabila penyerang datang, anggota polis juga mungkin takut untuk melepaskan tembakan kerana bimbang terkena orang lain,” katanya.

Pada 11 November lalu, Lans Koperal, Thierry Rodger anak Fendy, 26, putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang ketika operasi polis di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong.

Kejadian bermula selepas polis menerima maklumat orang awam kira-kira pukul 4 petang berhubung seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.

Suspek kemudian meluru keluar dari kediamannya sebelum menyerang anggota polis, bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini