Kapten tentera udara AS ditahan memandu mabuk di Okinawa

Kapten tentera udara AS ditahan memandu mabuk di Okinawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seorang kapten Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) ditahan polis Jepun di Okinawa hari ini selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Suspek, Omena Mushale yang bertugas di Pangkalan Udara Kadena, ditahan di tempat kejadian kerana disyaki melanggar undang-undang lalu lintas Jepun.

Mushale dipercayai memandu sebuah kereta ketika berada di bawah pengaruh alkohol kira-kira pukul 3.10 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, beliau hanya menafikan sebahagian dakwaan itu dengan memberi alasan menyangka tindakannya tidak menjadi masalah kerana rumahnya terletak berhampiran, meskipun masih terdapat alkohol dalam badannya.

Penahanan itu berlaku ketika kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol membabitkan anggota tentera AS di Jepun terus menjadi perhatian.

Sebelum ini, pihak tentera AS mengambil langkah memperketat disiplin anggotanya susulan penahanan seorang anggota tentera negara itu pada Oktober lalu berhubung dakwaan rompakan dan pembunuhan di Naha.

Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan mengenai salah laku anggota tentera AS yang ditempatkan di wilayah Okinawa, selatan Jepun.

Menurut polis, anggota yang melakukan rondaan mengesan Mushale memandu keluar dari sebuah tempat letak kereta di kawasan hiburan yang dipenuhi bar dan restoran khusus untuk anggota tentera AS.

Polis kemudian menahannya untuk pemeriksaan selepas beliau memecut kenderaan.

Ujian yang dijalankan mendapati kandungan alkohol dalam nafasnya kurang daripada 0.5 miligram seliter, menurut polis.

Pihak tentera AS pada awalnya menguatkuasakan perintah berkurung dari tengah malam hingga 5 pagi selama 30 hari bermula 9 Oktober sebagai tempoh muhasabah bagi anggotanya.

Bagaimanapun, seorang lagi anggota tentera ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol ketika perintah itu berkuat kuasa, sekali gus mendorong pelaksanaan langkah lebih ketat.

Tempoh perintah berkurung bagi anggota berpangkat rendah kemudian dilanjutkan sehingga 7 Disember, manakala semua anggota tentera dilarang mengambil minuman beralkohol di luar kediaman masing-masing antara tengah malam hingga 5 pagi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini