HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, di sini masih diteruskan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian dibahagikan kepada dua sektor iaitu sektor C dan D bagi memperluaskan kawasan pencarian mangsa.
Menurutnya, operasi dimulakan pada pukul 8.55 pagi dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) yang menjalankan pencarian bau di sektor C bagi mengenal pasti lokasi berpotensi.
“Pasukan bot kemudian menjalankan kaedah Donat atau Expanding Square serta pencarian di permukaan air melibatkan kawasan yang dikenal pasti.
“Unit udara turut melaksanakan pencarian menggunakan dron bagi membantu mengesan mangsa dari udara.
“Operasi berkenaan turut menggunakan enam bot iaitu tiga milik JBPM serta masing-masing sebuah bot daripada PBS Batang Kali, polis dan APM selain sebuah dron.
“Kejadian kepala air yang berlaku pada 11 November lalu dan sekali lagi pada pukul 1 pagi Sabtu turut menjadi antara cabaran dalam operasi SAR ini,”jelasnya.
Semalam, mayat ketujuh mangsa tragedi kepala itu ditemukan.Mayat lelaki warga India yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan pada pukul 3.40 petang di kawasan pencarian sektor C. – UTUSAN










