Uncle Wong bangun pukul 3 pagi, tak sabar mengundi - Utusan Malaysia

Uncle Wong bangun pukul 3 pagi, tak sabar mengundi

UNCLE Wong bersama Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengundi di SK Seri Duyong, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengundi warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Vong Fook Hoi, 88, atau lebih dikenali sebagai Uncle Wong bangun seawal pukul 3 pagi hari ini kerana terlalu teruja untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Dia mengakui tidak dapat melelapkan mata malam tadi kerana tidak sabar untuk keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong di sini.

Uncle Wong yang sering bersama calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, beliau mahu menjadi antara pengundi terawal menunaikan tanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pukul 3 pagi sudah bangun, semalam tidak boleh tidur sebab hendak datang mengundi awal.

“Hari ini bangun awal pukul 3 pagi sebab tidak boleh tidur. Hendak datang awal kerana mahu mengundi. Kalau tengah hari takut lambat.

“Saya datang ke sini dengan basikal. Basikal ada di luar. Memang ke mana-mana saya pergi, saya naik basikal,” katanya ketika ditemui.

Uncle Wong menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan keluar lebih awal.

Katanya, dia turut mengingatkan anak-anaknya supaya pulang mengundi, termasuk mereka yang bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur.

“Anak-anak saya pun saya pesan supaya datang awal mengundi. Ada yang balik dari Singapura dan ada juga dari Kuala Lumpur. Semua saya pesan datang mengundi awal,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noor Helmy yang juga penyandang kerusi Duyong berkata, beliau berterima kasih kepada pengundi yang hadir awal ke pusat mengundi.

Katanya, beliau dimaklumkan orang ramai sudah mula beratur seawal pukul 7 pagi, walaupun pusat mengundi hanya dibuka pada pukul 8 pagi.

“Cuaca hari ini pun elok, jadi saya menyeru semua pengundi supaya keluar awal kerana petang diramalkan hujan lebat,” katanya.

Mohd. Noor Helmy berdepan saingan calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan.

PRN Melaka kali ini menyaksikan seramai 687,697 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di 28 kerusi DUN. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini