SEBUAH sekolah yang menyaring pelajarnya dengan biasiswa dan juga menjadi pilihan elitis bangsa secara automatik boleh difahami sebagai tempat mengumpulkan orang cerdik pandai.
Apa lagi ketika itu sangat mudah untuk orang kaya, bangsawan menghantar anak mereka ke luar negara kerana keraguan kepada kualiti sistem pendidikan. Noble Malay Collage adalah nyala baru menjadi tempat pertama diharap boleh melahirkan pemimpin negara beberapa tahun akan datang dengan acuan tempatan.
Kudrat 1968 melalui beberapa episod penayangannya dengan format platform penstriman-wayang membawa niat besar, iaitu menceritakan asal usul terbinanya sistem High Council di Kudrat.
Seterusnya menceritakan bagaimana sejarah kematian membabitkan tiga pelajar Mazli, Pa dan Rafizi boleh berlaku hingga dicatat di tugu sebagai peringatan detik hitam itu tidak akan diulangi.
Jika Projek: High Council (2023) membahas bagaimana sistem menentukan pemimpin dan ketuanan dipilih berdasarkan kepada siapa lebih kuat berlawan, Kudrat 1968 membawa naratif lebih besar iaitu pertembungan kuasa antara golongan bangsawan dan rakyat biasa, mereka menuntut layanan serupa kerana percaya darah mereka sama.

Bagaimanapun, episod awal Kudrat 1968 sudah pun menunjukkan bahawa sistem berlawan sudah wujud di sekolah itu dalam kalangan pelajarnya bahkan sebelum kedatangan Abbas lagi.
Kudrat 1968 tidak pula menunjukkan titik cipta sistem bergocoh itu membuatkan sukar untuk tidak merasakan naskhah ini hanyalah proses pembungkusan semula Projek: High Council baik perbahasan sistemnya, konflik keluarga, dendam Fakhri-Abbas, bayangan Ayam-Mazli walaupun cuba membawakan naratif pertembungan kelas lebih besar.
Baik Kudrat atau High Council masing-masing membahaskan dominasi struktural iaitu hanya satu pihak ada kuasa mutlak, yang bawah tidak boleh bersuara atau mempertikaikan apa-apa.
Setiap arahan mesti dipatuhi. Jika ada yang mahu ‘rebel’, bertumbuk adalah caranya.

Tidak bermaksud mahu meleraikan hierarki, namun Kudrat sepatutnya boleh memberi gagasan atau kritik lebih luas mengenai perkara sedang mereka bahaskan menerusi karakter-karakter yang bergerak dalam ceritanya.
Dominasi struktural memang tidak mudah dihapuskan walaupun orangnya bertukar. Kita tidak tahu siapa yang mulakan sistem ini dalam Kudrat kerana sudah sedia ada wujud. Tapi kita lihat bagaimana ia kekal bertahan dalam sekolah berkenaan sampai dipegang Kahar.
Namun, bagaimana sistem struktural ini ditentukan dengan bertumbuk dan keganasan sepatutnya boleh dicabar. Ini kerana, jika logik sistem ini diteruskan, pelajar yang kemudian menjadi pemimpin negara seolah dilatih untuk merasakan kekerasan adalah satu-satunya jalan mengekalkan kuasa.

Dalam konteks lebih besar dan serius, pemimpin akan mudah memilih perang untuk membentuk dominasi. Alang-alang Ghafar tidak mengalami perkembangan watak yang begitu mempesonakan, sepatutnya karakter itu digunakan untuk menunjukkan cara lain memanjat tangga sistem dengan kelicikan.
Apa lagi kita masih mempunyai roh politik rundingan semasa merdeka yang lebih kuat di zaman itu. Naskhah ini sepatutnya menyeimbangkan cara kita memahami kuasa baik itu kelicikan, tipu helah, diplomasi selain daripada bergocoh. Sangat melelahkan melihat semua mahu bertumbuk dan meraung di episod akhir Kudrat 1968.
Juga mengapa kita berburuk sangka seolah-olah jika orang teraniaya akhirnya memanjat sistem, memperoleh takhta, kita akan lupa diri seperti Piji? Perkara itu juga boleh dicabar.
Bagaimanapun, Kudrat 1968 bukanlah naskhah yang teruk cuma mudah untuk merasakan ia dibikin dalam keadaan tergesa-gesa. Ia ibarat tidak cukup masa untuk menimbus lubang persoalan yang digali mereka di awal cerita. Tercungap-cungap tidak cukup nafas membuat mereka hanya berada di permukaan.
Walau naskhah ini memberi banyak masa untuk penonton melihat kekar tubuh pelakonnya, namun sudah tentu untuk naskhah sepopular ini, penonton tidak akan lupa melakukan silang cerita dan garis masa 2023-1968. Semuanya akan dipertanyakan, semua logik akan diperdebatkan.











