FSH Ipoh perluas akses rawatan pembedahan pakar di Perak - Utusan Malaysia

FSH Ipoh perluas akses rawatan pembedahan pakar di Perak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan Faculty of Specialists Hospital (FSH) Ipoh dijangka memperluas akses penduduk Perak kepada rawatan pembedahan khusus, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit mendapatkan perkhidmatan pakar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hospital yang dibangunkan menerusi pengubahsuaian menyeluruh bekas Hospital Ar-Ridzuan itu memberi tumpuan kepada bidang pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT), urologi, pembedahan plastik dan rekonstruktif serta ortopedik.

Kemudahan itu turut menyediakan perkhidmatan penggantian sendi dan intervensi kesakitan bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit yang semakin meningkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif FSH Ipoh, Azhar Harun berkata, pembukaan hospital berkenaan tepat pada masanya berikutan peningkatan populasi warga emas di Perak yang mendorong permintaan terhadap rawatan pakar dan pembedahan kompleks.

“Perak merekodkan 10.8 peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, lebih tinggi berbanding purata nasional sebanyak 8.4 peratus.

“Sudah terlalu lama penduduk Ipoh perlu ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan sedemikian dan keadaan itu bukan pendekatan yang mampan dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan.

“Justeru, menerusi hospital baharu kami, keadaan itu mula berubah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, FSH Ipoh dibangunkan bagi memenuhi keperluan rawatan khusus menerusi khidmat pakar bedah berpengalaman, wad dan dewan bedah khusus serta pasukan kecemasan yang beroperasi 24 jam.

Katanya, kehadiran pakar berkenaan membolehkan pesakit mendapatkan rawatan pembedahan terancang di Ipoh tanpa perlu menunggu terlalu lama atau dirujuk ke luar negeri.

Antara pakar yang menerajui pasukan pembedahan hospital itu ialah Dato’ Dr. Periyathamby a/l Sinnathamby dalam bidang ENT, Profesor Dr. Azad Hassan Abdul Razak (urologi) dan Profesor Dr. Alizan Abdul Khalil (pembedahan plastik dan rekonstruktif).

Mereka turut disertai Dr. Rajkumar a/l Veerakumaran yang mempunyai kepakaran dalam ortopedik, penggantian sendi dan intervensi kesakitan.

Kesemua pakar itu mempunyai pengalaman lebih 100 tahun secara kolektif menerusi perkhidmatan di beberapa hospital awam dan universiti terkemuka negara.

Dalam masa sama, beliau berkata, peningkatan keperluan rawatan pembedahan turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara, khususnya hospital kerajaan yang berdepan kekangan kapasiti dan kekurangan tenaga pakar.

“Tempoh menunggu bagi pembedahan elektif bukan kanser di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan antara dua minggu hingga 13 bulan dengan bidang urologi antara yang mencatatkan tempoh menunggu paling panjang.

“KKM mempunyai kira-kira 9,040 pakar yang sedang berkhidmat berbanding keperluan unjuran sebanyak 22,435 pakar menjelang 2030, menunjukkan kekurangan lebih 13,000 tenaga pakar.

“Perkembangan itu membuka ruang kepada penyedia perkhidmatan kesihatan swasta untuk melengkapkan kapasiti sedia ada, khususnya dalam penyediaan rawatan khusus dan pembedahan terancang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini