PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah tampil berkongsi amalan doa yang penuh kasih sayang buat dua cahaya matanya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Menerusi perkongsian di Threads, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, mendoakan agar kedua-dua anaknya dikurniakan kehidupan yang lebih baik serta masa depan yang diberkati Allah SWT.
“Andai ada rezeki yang indah, dahulukanlah untuk anakku. Andai ada jalan yang sukar, permudahkanlah setiap langkahnya.
“Kurniakanlah dia kehidupan yang lebih baik, hati yang sentiasa tenang, menjadi anak yang baik, bijak dalam pelajarannya dan masa depan yang penuh keberkatan,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu turut memohon agar anak-anaknya sentiasa dilimpahi kasih sayang dan perlindungan Allah SWT walau di mana sahaja mereka berada.
“Walau di mana pun dia berada, jagalah dia dalam rahmat dan kasih sayang-Mu, ya Allah. Insya-Allah, amin,” titipnya.
Tersentuh dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet turut mendoakan agar keluarga kecil itu bahagia di bawah lindunganNya.
Untuk rekod, Ayden dan Ara merupakan hasil perkahwinan terdahulu Bella bersama penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz.









